Berita

Perceraian Disebabkan Orang Ketiga? Respons Emma Maembong – “Tak Ada, Semuanya Tak Ada.”

Share

“Tak ada. Semuanya tak ada.” Demikian jawapan ringkas diberikan aktres, Emma Maembong apabila ditanya sama ada punca perpisahannya bersama bekas suami, Muhammad Shazli Azhar, 36, disebabkan orang ketiga atau sebalilknya.

Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 32, berkata, dia dan bekas suami bercerai secara baik dan memilih untuk tidak berkongsi lanjut mengenai punca perpisahan secara terperinci.

“Bila ini berlaku (bercerai), keluarga saya pun terkejut dan mereka tanya mengapa. Kata saya, kehidupan berumah tangga bukan mudah. Kami mencuba, kalau ada jodoh alhamdulillah.

“Tak ada gunanya untuk saya kongsi kepada semua mengenai punca perpisahan ini berlaku. Kita perempuan akan ada momen rasa kecewa dan sebaliknya.

“Cuma saya pun tak tahu mengenai jodoh selepas ini. Kalau tiba-tiba jodoh kami kembali? Saya juga yang akan menyesal sebab pernah buruk-burukkan bekas suami.

“Jadi kita teruskan kehidupan masing-masing. Rasa kecewa, sedih atau bahagia, itu semua memang rutin kehidupan. Jadi terus pandang ke depan dan besarkan anak-anak,” katanya.

Emma berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Malam Gala Jangan Pandang Belakang 2 di Starling Mall, Petaling Jaya, pada Rabu.

Ditanya sejauhmana hubungannya bersama bekas suami ketika ini, Emma menjelaskan mereka tetap menjalinkan hubungan yang baik.

“Saya dan Shazli tiada masalah, semuanya okay. Tak ada nak bergaduh kerana kami sama-sama faham. Kita cuba untuk memperbaiki perhubungan sebelum ini. Tapi jodoh sampai di situ sahaja.

“Apa pun, itu bukan penamat. Tidak semestinya bila bercerai, kita perlu membenci atau ‘blocked’ pasangan. Apatah lagi menyeksa mental anak-anak.

“Misalnya bila kita rasa tak puas hati dengan bekas pasangan, tak beri dia jumpa anak. Bagi saya ia bukan satu perkara yang baik. Sebab biarlah anak membesar dengan sempurna.

“Misalnya untuk situasi saya, bapanya ialah ‘hero’ dia sementara mama pula ‘superwoman’. Tak perlu kita bergaduh, berebut anak hingga akhirnya mereka yang jadi mangsa,” katanya lagi.

Terdahulu pada 7 Oktober lalu, Emma mendedahkan dia kini bergelar ibu tunggal selain sudah tamat melalui tempoh idah.

Emma bagaimanapun memilih untuk merahsiakan berita penceraiannya daripada pengetahuan umum terlebih dahulu kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Sementara Shazli pula menyifatkan urusan jodoh pertemuan adalah rahsia Allah dan dia reda dengan segala ketentuan.

Untuk rekod, Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Shariq Gabriel, 4, dan Shakil Aryan Shah yang kini berusia setahun.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
MH