Perdana Menteri Bakal Lancar Keluarga Malaysia Di Kuching, Dayang Nurfaizah & Hael Husaini Antara Yang Tumpang Teruja!

Share

Pelancaran Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Borneo Convention Centre Kuching, Sarawak pada 23 Oktober depan disambut baik barisan anak seni.

Barisan penyanyi yang terbabit pada acara itu yang terdiri daripada Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Poova dan Vince menyifatkan ia sebagai sesuatu yang cukup istimewa.

Menurut Dayang, dia cukup teruja apabila dapat membuat persembahan di hadapan Perdana Menteri, lebih-lebih lagi selepas sekian lama tidak menyanyi pada acara besar.

“Sejujurnya saya teruja dapat terbabit pada acara ini sebab setelah sekian lama tiada program besar. Sekurang-kurangnya dapat buat kemunculan semula.

“Malah, apa yang lebih membanggakan adalah dapat mengadakan persembahan depan Perdana Menteri, menteri dan Ketua Menteri. Selain itu dapat juga saya menyanyikan lagu-lagu patriotik dengan nafas baru,” katanya.

Sementara itu, Hael Husaini berpendapat, pelancaran itu memberi petanda baik dan perkembangan positif kepada industri hiburan tempatan.

“Pastinya dengan adanya acara sebegini ia dapat merancakkan semula industri hiburan dan penganjuran acara sekali gus memberi peluang artis kembali beraksi di pentas.

“Apa yang menariknya juga, pada acara ihi saya bersama rakan artis lain cukup teruja apabila berpeluang menyanyikan lagu rasmi Keluarga Malaysia,” katanya.

Juara pertama Akademi Fantasia (AF), Vince pula menyifatkan majlis pelancaran itu dapat memberi manfaat kepada ramai pihak yang terbabit.

Bukan saja kepada penyanyi, pemuzik, tapi juga mereka yang terlibat dalam penganjuran acara.

“Dengan adanya program besar ini 

memberi Kesan limpahan yang akan memanfaatkan banyak pihak dalam industri hiburan dan industri sokongan.

“Paling penting, semangat Keluarga Malaysia juga dapat diperkukuhkan melalui program hiburan yang membabitkan elemen atau semangat muhibbah,” katanya.


Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia yang bakal berlangsung jam 8 malam itu turut disiarkan di beberapa stesen TV tempatan.

Published by
MH