“Pergilah Pada Isteri Baharu, Saya Tak Marah,” – Puteri Sarah Rayu Dilepas Cara Baik

Share

Pelakon Puteri Sarah Liyana merayu kepada suaminya yang juga merupakan pengarah terkenal, Syamsul Yusof untuk melepaskannya dengan cara baik dan tidak menyukarkan lagi keadaan.

Ia susulan selepas Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof enggan menceraikan Puteri Sarah pada prosiding sebutan kes hari ini yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Lantaran itu, Hakim Mahkamah Syariah, Akmaluddin Ilyas memerintahkan Syamsul dan Puteri Sarah supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Jelas Puteri Sarah, dia sendiri tidak menyangka Syamsul bakal membuat keputusan sedemikian meskipun sudah hampir setahun mereka tidak bertemu.

“Dia tak mahu melepaskan saya kerana dia rasa kami boleh berdamai lagi. Dia kata masih ada sinar. Sinar apa? Sedangkan, ketika saya masuk hospital haritu, dia tidak menjenguk atau bertanya khabar.

“Saya pun tak pasti mengapa dia bertindak sedemikian dan saya terkejut. Dia pun dah setahun menyekat saya di Whatsapp sebelum ini. Saya juga sudah setahun tidak berjumpa dia dan ini kali pertama kami berjumpa semula.

“Lepaskanlah saya Muhammad Syamsul. Saya dah malas dah. Lepaskan dengan baik dan jangan menyukarkan keadaan. Awak dah pun berkahwin baru. Pergilah pada isteri baharu. Saya tak marah.

“Saya doakan dia hidup bahagia bersama isteri baharu,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, ibu kepada dua orang cahaya mata ini turut menolak dakwaan keputusan Syamsul itu sebenarnya dipengaruhi rasa cinta memandangkan esok genap ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-9.

“Sebelum ini, tiada pun dia mengambil kira tentang ulang tahun perkahwinan kami. Sejak daripada tahun 2020 dia tak ambil kira.

“Kenapa tahun 2023 pula dia nak ambil kita tentang anniversary kami? Lagipun dia tak mengambil endah pun fasal saya. Dengan anak-anak pun tiada hubungan yang baik. Macam mana tu?,” ujarnya lagi.

Ketika ditanya adakah krisis rumah tangga ini bakal diselesaikan di luar mahmakah, Puteri Sarah menyifatkan segalanya sudah terlambat.

“Perbincangan itu sepatutnya berlaku dua tahun lepas. Kepada orang luar yang berkata saya ini anti poligami, anda semua tak tahu apa yang berlaku di rumah. Saya tutup aib kerana ketika itu masih sayang.

“Saya nak keluar daripada semua ini dah mahu move on. Dah terlambat kalau hari ini baru nak tersedar yang dia bakal kehilangan isteri. Saya tak mahu selesaikan perkara ini di luar mahkamah.

“Saya sudah tiada perasaan lagi kepada dia,” akhirinya.

Pada prosiding itu, Puteri Sarah diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul diwakili peguam syarie Roshdan Sujak.

Konflik rumah tangga pasangan itu mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi Syamsul tidak pernah membuka mulut mengenainya.

Bagaimanapun pada Januari lalu, Syamsul akhirnya mengaku sudah bernikah dengan orang ketiga yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangganya bersama Sarah iaitu Ira Kazar.

Susulan pendedahan tersebut, topik mengenai kemelut rumah tangga Sarah dan Syamsul serta kehadiran Ira Kazar menjadi topik hangat dalam kalangan netizen.

Untuk info, Sarah dan Syamsul telah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf