Bintang filem Imaginur, Diana Danielle bersyukur apabila namanya tersenarai sebagai lima calon akhir kategori Pelakon Filem Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33).
Diana Danielle bagaimanapun akui bukan mudah untuk membawa pulang trofi bagi kategori berkenaan memandangkan calon lain tidak kurang hebatnya.
Malah Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson dia akan tumpang gembira sekiranya melihat rezeki rakan aktres lain yang merangkul trofi tersebut.
“Saya bersyukur dan merasakan semuanya sudah lengkap. Bagi saya, kalau industri berikan kita penghargaan, itu adalah satu bonus.
“Alhamdulillah, kalau ada dan jika tiada, saya masih di sini untuk mencuba lagi.
“Namun, niat saya bukanlah mahu meraih penghargaan. Satunya, saya bekerja untuk periuk nasi.
“Sebelum ini, saya menjayakan filem Magika, Kami Histeria, Gol dan Gincu, orang datang tegur saya mengatakan mereka tonton filem saya sejak berusia 16 tahun.
“Jadi, bila saya menjayakan filem dan menerima sokongan, itu sudah memadai. Bagi saya, persaingan sangat sengit dan bolos Top 5 juga adalah satu pencapaian.
“Saya juga tahu dalam kategori ini siapa paling layak menang dan saya mahukan dia naik pentas menerima trofi ini. Melihat usaha dan kerja kerasnya, saya tahu dia layak,” katanya.
Menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Diana bersaing dengan Nadia Aqilah yang dicalonkan menerusi filem Eva, Susan Lankester (Rain Town), Nabila Huda (Rahsia) dan Chen Keat Yoke (Hungry Ghost Diner).
Ibu kepada dua cahaya mata itu sebelum ini pernah memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada FFM29.
Diana yang ditemui Sesi Tayangan dan Apresiasi Filem Imaginur Sempena FFM 33 di GSC Mid Valley, baru-baru ini juga bersyukur apabila Imaginur meraih sokongan dan diterima sangat baik penonton dan penggiat industri.
“Rezeki diterima Imaginur sudah melimpah ruah, jadi apa sahaja datang selepas penerimaan penonton dan sokongan diberikan sudah mencukupi. Saya sangat menghargainya.
“Sebagai anak seni, itu yang paling diharapkan bila orang boleh kaitkan dengan filem dan orang sangat menerimanya. Perjalanan Imaginur bagi saya adalah ‘miracle’, jadi saya bersyukur sebab kami menerima semua ini daripada anda semua,” katanya.
Berikutan itu, Diana berharap Imaginur dapat meraih kejayaan besar pada malam kemuncak FFM33 bakal disiarkan secara langsung di TV2 dari Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, malam ini.
Filem arahan Nik Amir Mustapha itu mendominasi FFM 33 yang mempertandingkan 24 kategori secara keseluruhan.
Imaginur mempamerkan lakonan hebat Beto Kusyairy dan Diana menembusi pencalonan kategori Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Wanita Harapan, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Poster Terbaik dan Sinematografi Terbaik.
Selain itu, filem terbitan Lumatic Films Sdn Bhd itu turut membolosi kategori Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Filem Terbaik.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI