Semalam, Datuk Nurulhidayah, anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah selamat melangsungkan pernikahan di Masjidilharam, Mekah bersama pasangan pilihannya iaitu Datuk Saiful Nizam Mohd. Yusoff.
Majlisnya turut dihadiri oleh ibunya, Datin Seri Hamidah Khamis dan pasangan suami isteri Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan Datuk Siti Nurhaliza.
Diadakan secara ringkas namun penuh bermakna.
MH Online berjaya mendapatkan komen daripada pengantin yang lebih mesra dengan panggilan Nurul. Ditanya, mengapa memilih mengadakan majlis nikah di Mekah dan dalam bulan Ramadan yang mulia ini?
Nurul menjawab kerana Mekah merupakan sebuah kota suci dan kota cinta umat Islam.
“Saya dan suami memilih untuk bernikah di Mekah kerana kita sudah sedia maklum, Mekah merupakan sebuah kota suci dan kota cinta umat Islam. Cinta Agung dan rahmat yang kami kejar diterjemahkan bila kami bernikah di Mekah dan 10 terakhir Ramadan adalah hari-hari terakhir Ramadan yang kami kejar kerana rahmatnya adalah umpama seribu bulan,” jelasnya.
Ini merupakan perkahwinan kedua Nurul setelah kematian suaminya dan sudah pasti ada harapannya.
“Harapan saya adalah perkahwinan ini adalah perkahwinan yang mendapat rahmat dan berkat daripada ALLAH SWT. Semoga menjadi inspirasi kepada semua dari setiap perjalanan hidup saya kepada yang mengikuti saya di media sosial sejak beberapa tahun lepas.
“Saya kembali semula menjadi isteri kerana kelebihan berumah tangga di dalam Islam sendiri besar pengertiannya. Bagi saya perkahwinan itu suatu ibadah dan ganjaran yang ALLAH SWT berikan sangat besar kepada yang mengetahuinya,” katanya.
Nurul juga turut mengucapkan ribuan terima kasih dan doa yang telah diberikan kepadanya dan juga keluarga.
“Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan saya dan keluarga. Saya pohonkan doa daripada semua kerana sebagai manusia yang tidak hebat, doa daripada semua adalah besar maknanya untuk saya terus berjalan meneruskan hidup yang telah diaturkan oleh Pencipta,” katanya lagi.
Ditanya pula tentang majlis resepsi , dan dia menjawab majlis resepsi akan berlangsung dalam masa terdekat.
Kata Nurul lagi, aktiviti seninya masih akan berjalan seperti biasa dengan keizinan daripada suami tercinta.
[su_heading]Untuk perkongsian berita selebriti dan pengiklanan, boleh emelkan kepada editor.media@karangkraf.com atau hubungi 03-5101 7322. Ikuti kami juga di Facebook› Media Hiburan * Instagram› mediahiburanofficial * Youtube› Media Hiburan Official[/su_heading]