Perrnah melalui fasa perpisahan sebelum ini, penyanyi era 80-an, Suliza Salam akhirnya kembali bertemu jodoh.
Penyanyi yang juga ibu kepada Ismail Izzani ini akhirnya menemui kebahagiaan dalam perkahwinan keduanya bersama ahli perniagaan, Ismail A Ahmad.
Pasangan ini selamat diijabkabulkan pada Disember tahun lalu dan pada Februari, pasangan ini diraikan dalam sebuah majlis resepsi tertutup yang dihadiri keluarga serta sahabat terdekat.
Setiap Ujian Pasti ada Hikmah
Menurut Suliza, selepas lebih lima tahun mengenali suaminya, hubungan mereka berubah daripada sekadar persahabatan kepada satu ikatan yang lebih mendalam.
“Bercerai bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi dalam setiap kesedihan pasti ada hikmahnya. Kak Su mula rapat setelah melalui fasa perpisahan.
“Keprihatinan dan kesungguhannya untuk sentiasa berada di sisi Kak Su, bukan hanya untuk diri Kak Su tetapi juga untuk anak-anak dan cucu-cucu, benar-benar menyentuh hati.
“Malah kematangan dan keyakinannya juga berjaya meyakinkan Kak Su. Usia bukan ukuran, yang penting adalah kesanggupan diri untuk memikul tanggungjawab,” ujarnya, petik Mingguan Wanita.
Restu Keluarga
Malah tidak dinafikan, restu daripada keluarga juga penting, termasuk daripada anak lelakinya, Ismail Izzani.
Bagi Suliza, perkahwinan ini bukan sekadar satu ikatan, tetapi satu janji untuk sama-sama menjaga dan menyayangi hingga ke akhir hayat.
“Kadang-kadang kita terlalu memikirkan apa orang kata, sedangkan bahagia itu adalah hak kita sendiri.
“Tuhan sudah menentukan jodoh, tugas kita adalah menerima dan menghargainya,” katanya lagi.
Bahagia Milik Semua
Keikhlasan dan keyakinan dalam membina rumah tangga bersama telah memberikan Suliza kekuatan untuk melangkah ke fasa kehidupan baharu dengan lebih yakin.
“Melihat senyuman orang tersayang pada hari bahagia membuatkan Kak Su semakin yakin bahawa inilah keputusan terbaik dalam hidup.
“Bila kita ditemani orang yang betul, tiada alasan untuk menolak kebahagiaan. Semuanya selesai dengan baik.
“Dan yang paling penting, kami mendapat restu daripada semua yang kami sayangi. Syukur, Alhamdulillah,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Sumber/Foto: Mingguan Wanita