Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali tampil membuat permohonan maaf berhubung empat pertuduhan membenarkan dan memandu kereta dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans, Januari lalu.
Susulan itu, Nabila, 31, atau nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali bersama ibunya Shamsidah Abdul Rahman, 58, didenda RM480 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka, pada Isnin.
Sehubungan itu, Nabila yang juga penyanyi lagu Tangis enggan memanjangkan lagi isu ini dan memohon orang ramai tidak mensensasikan perkara itu.
“Sebenarnya kereta itu saya hadiahkan pada ibu dan masih atas nama saya. Jadi, apabila terdapat kesalahan jalan raya membabitkan kenderaan itu, sekali gus sebagai pemilik saya terpalit juga.
“Diakui pada hari kejadian kereta itu memang dipandu ibu. Perkara ini juga sudah dibawa ke mahkamah dan ibu mengaku salah selaku orang kena saman (OKS),” katanya dalam satu kenyataan media.
Pada masa sama, pelakon drama Bawah Payung Awan ini turut berharap agar insiden seperti ini dapat dijadikan pengajaran kepada semua pihak.
“Semoga kejadian ini menjadi pengajaran bukan saja buat saya dan ibu, tapi juga seluruh rakyat Malaysia. Sekali lagi, sebagai pemilik kereta ini saya mohon maaf,” katanya.
Mengikut dua pertuduhan, Nur Nabila sebagai pemilik berdaftar sebuah kereta, didapati membenarkan ibunya menggunakan kenderaan itu di atas jalan raya dengan LKM tamat tempoh pada 29 September 2023 dan tanpa polisi insurans bagi pihak ketiga.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 9 Januari 2024, kira-kira jam 11.50 pagi di Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini.
Sementara itu, ibunya pula didakwa atas dua pertuduhan iaitu sebagai pemandu didapati menggunakan kenderaan berkenaan dengan LKM tamat tempoh dan tanpa perlindungan insurans pihak ketiga pada masa, tarikh dan di tempat sama.
Mereka didakwa melakukan kesalahan Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan tiada insurans pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 90(1) APJ 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 90(2) akta sama, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau dipenjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya.