Finalis Hero Remaja 2021, Fazziq Muqriz mengakui berasa amat teruja kerana dia kini hanya selangkah sahaja lagi bagi merebut gelaran juara Hero Remaja 2021.
Menurut Fazziq, 21, meskipun pada awalnya dia berasa agak kecewa kerana namanya tidak terpilih pada edisi tahun lalu, namun dia tetap bersyukur dan mengaggap Allah telah mengaturkan rezeki yang lebih baik buat dirinya.
Bercakap kepada MH, jejaka asal Selangor ini mengakui sikap ‘over confident’ ada kalanya menjerat dirinya.
“Saya merasakan diri saya ada kekurangannya yang tersendiri. Bila diri ini terlalu over confident, saya jadi terlalu yakin yang saya memang akan terpilih dengan mudah.
“Perkara tersebut sebenarnya mengajar saya untuk tidak cepat lupa daratan dan lupa diri.
“Saya ada juga tertanya-tanya ‘Kenapa aku tak dapat’, ‘Apa salah aku?’ atau ‘Aku ada buat benda tak betul ke?’. Itu yang bermain di fikiran saya.
“Jadi, bila saya terpilih untuk tahun ini, saya tahu Allah memang ada perancangan yang baik dan sesuai buat saya. Dengan kerja keras dan semangat tak putus asa, saya sangat bersyukur,” katanya.
Ketika ditanya mengapa dia masih memerlukan platform Hero Remaja 2021 sedangkan dia sudah pun memiliki pengalaman di dalam dunia industri seni, ini reaksi yang diberikan oleh jejaka kacukan Inggeris Melayu ini;
“Saya menyertai platform ini bukan untuk mengejar nama atau populariti semata-mata, sebaliknya saya nak cabar diri saya untuk ke peringkat yang seterusnya.
“Kalau ada rezeki dinobatkan sebagai juara, itu adalah bonus. Saya di sini bukan untuk suka-suka. Ada impian besar yang ingin saya kejar.
“Saya langsung tak anggap diri saya ini berpengalaman di dalam dunia industri. Saya masuk ke ni bermula daripada kosong sama seperti peserta yang lain. Saya mahu gunakan peluang ini untuk bina empayar saya sendiri,” kongsinya lagi.
Memilih Hero Remaja Meerul sebagai pesaing terdekat, namum Fazziq menegaskan dia tidak mahu sesekali memandang rendah terhadap dua finalis yang lain.
“Secara jujurnya, sejak daripada awal, saya merasakan Meerul adalah pencabar terdekat. Namun, saya tak boleh terlepas pandang juga kepada Afiq dan Syazani.
“Mereka ini adalah ‘underdog’. Macam-macam boleh berlaku di final nanti. Apapun saya akan cuba buat yang terbaik dan menikmati setiap momen pada malam tersebut,” akhirinya.
Sekadar informasi, pentas Finale Hero Remaja 2021 akan dipancarkan secara langsung pada 6 November ini, bermula jam 9 malam di saluran Astro Ria dan On Demand.
Teruskan mengundi top 12 finalis kegemaran anda bagi ketegori Hero Favourite di www.remaja.my/hero.
Undian kini dibuka dan hanya akan ditutup pada malam final.