Situasi semasa pandemik COVID- 19 yang melanda lebih setahun lalu nyata memberi kesan kepada semua lapisan masyarakar, termasuk para pelajar yang kini sedang menduduki peperiksaan utama negara.
Bagi calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) misalnya, mereka tidak dapat meneruskan situasi pendidikan seperti sebelum ini, selain terpaksa berdepan pengajian dalam norma baharu dalam sesi pembelajaran.
Pelakon senior, Jasmin Hamid, berpendapat para ibu bapa perlu memberi perhatian lebih kepada anak-anak mereka khasnya yang sedang menduduki SPM buat masa ini.
“Kita semua maklum, pandemik COVID-19 sedikit sebanyak mengganggu proses pembelajaran anak yang sedang menduduki SPM.
“Iyalah, mereka belajar pun luar daripada kebiasaan seperti dalam talian. Agak sukar buat mereka kerana itu adalah norma baharu.
“Jadi, buat masa ini ibu bapa perlu lah meluangkan lebih Masa untuk fahami tekanan yang sedang dihadapi oleh anak-anak. Tinggalkanlah sekejap kesibukan bekerja untuk selami perasaan mereka.
“Mungkin ada antara mereka tidak menunjukkan kebimbangan kerana sikap yang tidak berubah malah kelihatan biasa sahaja. Ibu bapa perlu dalami apa yang sedang mereka lalui,” jelas Jasmin Hamid.
Bintang berusia 46 tahun ini turut berharap agar ibu bapa di luar sana mengambil tahu atau cakna dengan perubahan anak.
Bagi Jasmin, SPM adalah sesuatu yang boleh menjadi beban buat mereka yang tertekan.
“Jadi sebagai ibu bapa, kenalah peka terhadap perubahan anak dan berusahalah untuk mengurangkan tekanan yang mereka hadapi. Saya tahu ini saat-saat sukar buat mereka.
“Ibu bapa perlu memberi kata-kata semangat dan motivasi kepada anak-anak agar mereka rasa seronok untuk duduki SPM.
“Namun jangan sesekali memaksa mereka untuk menjawab dengan cemerlang kerana mereka akan rasa terbeban. Sekarang adalah masa untuk mereka bertenang dalam menjawab SPM, bukan masa untuk mengulangkaji.
“Jangan tekan mereka supaya mendapat markah tinggi sehingga mereka stres,” katanya.
Malah Jasmin turut berpendapat, masih banyak ruang lain yang memberi peluang buat mereka untuk berjaya.
“Katakan kepada mereka, jawablah sekadar mengikut kemampuan.
“Kalau mereka meluahkan rasa bimbang, katakan SPM bukanlah pengakhiran kerana masih banyak peluang lain untuk berjaya,” luah Jasmin lagi.
Dalam perkembangan lain, Jasmin baru sahaja selepas menjalani penggambaran drama, Derita Untuk Bahagia.
Selain itu, dia turut terlibat menerusi drama rantaian, Cukup Derita itu yang turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Didie Alias, Chacha Maembong, Ruhainies dan ramai lagi.