Perlu Tanggung Ibu & Nenek, Caprice Nak Bantu Lelaki Bayar Denda Conteng Kedutaan US

Share

Penyanyi rap dan usahawan, Caprice mahu membantu membayar denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kepada seorang jurutera projek yang menconteng tulisan ‘terrorist’ di tembok bangunan kedutaan Amerika Syarikat.

Memetik laporan Sinar Harian, Ahmad Ridzwan Al Amin Azman Shah melakukan tindakan sedemikian kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan konflik yang melanda Palestin.

Lantaran itu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, dia memohon jasa baik netizen untuk menjejaki individu berkenaan.

“Sesiapa kenal adik tu? RM1000 saya payung (belanja) In sha Allah. Sebab sales kita hari ini padu,” katanya.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh penyanyi lagu Takde Hal Bro itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut tumpang gembira selain turut medoakan semoga urusan individu tersebut dipermudahkan.

“Terbaik Cap. Semoga dimurahkan rezeki selalu.

“Steady Cap. Semoga Cap dan keluarga sentiasa dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik.

“Sekurang-kurangnya dia berani bersuara dan bertindak.

“Good job brother. Semoga diluaskan pintu rezeki.

“Mula-mula baca dah agak mesti Caprice akan bantu adik ni. Awak memang berhati mulia,” antara komen-komen netizen.

Terdahulu, Ahmad Ridzwan dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Wong Chai Sia.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, pemuda ini dituduh melakukan khianat iaitu merosakkan harta kepunyaan Kedutaan Besar Amerika Syarikat sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM200 iaitu menconteng tulisan ‘terrorist’ menggunakan penyembur cat warna merah.

Semasa prosiding, peguam, Muhammad Rhastdan Abdul Wahab merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda pada kadar rendah tanpa pemenjaraan.

Menurutnya, Ahmad Ridzwan Al Amin yang masih bujang, perlu menanggung ibunya yang juga seorang ibu tunggal bersama seorang nenek.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Sinar Harian & Instagram Caprice

Published by
Aizam Manaf