Setakat ini, difahamkan pihak Datuk Fizz Fairuz masih belum menerima sebarang permohonan maaf daripada individu di balik akaun Instagram ‘Makcik Puaka’.
Lalu, bintang berusia 39 tahun itu sekali lagi menegaskan bakal mengambil tindakan undang-undang sekiranya pihak terlibat tidak bertemu dengannya dan meminta maaf sebelum jam 12.00 malam ini.
“Saya dah keluarkan kenyataan secara lisan. Dia dah keluarkan secara bertulis di Instagram tapi ia tidak memadai.
“Saya nak jumpa secara depan mata untuk dia buat permohonan maaf tapi sehingga hari ini tiada permohonan maaf. Belum ada apa-apa keputusan daripada pihaknya lagi.
“Kalau tiada jawapan dan masih tegakkan benang yang basah, saya akan ambil tindakan,” tegasnya kepada MH.
Mengakui telahpun hampir mengenal pasti individu di sebalik Makcik Puaka, namun pelakon ini tidak mahu membuka aib dan bertegas akan terus menyimpan rahsia sekiranya dia menerima permohonan maaf.
“70 peratus saya dah tau siapa Makcik Puaka kerana dia dalam bidang seni juga. Dia boleh jumpa saya secara personal kerana saya tidak mahu aibkan dia.
“Saya boleh tutup dan tidak akan sebarkan jika dia minta maaf secara empat mata. Saya buat sidang media bukan mahu malukan sesiapa.
“Tapi dia masih mahu berkeras. Permohonan maaf di laman Instagram tidak laku. Saya mahu dia jumpa saya.
“Ini sebab maruah dan tidak boleh buat main-main. Saya ada keluarga jadi fikir dahulu. Bukannya tutup begitu sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Star Vendors Mega Raya Fest 2019 di PWTC, Kuala Lumpur, siang tadi.
Terdahulu, namanya terpalit apabila terkait dengan isu seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang didakwa ditangkap khalwat bersama pasangannya di sebuah pulau peranginan, baru-baru ini.
Sementara itu Instagram yang dimaksudkan Fizz itu juga sudah menukar identitinya dan difahamkan sudah membuang posting berkenaan gosip.
Foto: Instagram Fizz Fairuz