Pakar perubatan regeneratif, anti-penuaan, Prof. Datuk Seri Dr. Mike Chan optimis untuk terus membawa banyak inovasi dalam bidang ini, bertujuan untuk meningkatkan serta menjaga kesihatan masyarakat secara bersepadu.
Pengalaman hampir dua dekad dalam bidang berkaitan menjadikan namanya dikenali di peringkat antarabangsa selain pernah bekerjasama dengan beberapa selebriti terkenal serantau untuk tujuan berkaitan.
Malah, Dr. Mike Chan turut menjalankan penyelidikan saintifik mendalam untuk mengatasi pelbagai penyakit kronik yang berkaitan dengan proses penuaan.
“Karier saya bermula dengan minat mendalam terhadap potensi penyembuhan dalam sel stem iaitu rawatan yang menggunakan sel hidup untuk memulihkan tisu badan yang rosak akibat penyakit atau penuaan.
“Terapi sel stem ini kini menjadi antara kaedah utama dalam menangani pelbagai masalah kesihatan seperti diabetes, artritis, dan penyakit jantung, yang sering dikaitkan dengan proses penuaan,” katanya.
Perubatan regeneratif ini bukan sahaja bermanfaat untuk individu yang kurang pendedahan, malah ia dapat mengurangkan risiko penyakit yang berkaitan dengan penuaan seperti osteoporosis, penyakit jantung, dan gangguan hormon seperti menopaus.
Di samping itu, rawatan ini juga berperanan menjaga penampilan fizikal yang sihat, meningkatkan keyakinan diri dan secara langsung menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup.
Tambah Dr. Mike Chan, dia mula meneroka bidang terapi selular ketika ia masih kurang dikenali di Malaysia, dengan ikhtiar agar rawatan ini dapat meningkatkan jangka hayat manusia dan memberikan kehidupan yang lebih sihat.
“Dengan penyelidikan dan inovasi yang berterusan, bidang perubatan ini mampu membuka peluang baru dalam cara kita memahami kesihatan dan penuaan.
“Selepas umur 40, manusia kehilangan sebanyak 10,000 neuron setiap hari dan proses penuaan otak bermula seawal usia 20 tahun, dengan lobus frontal berkembang sepenuhnya pada usia 24.
“Oleh itu, gaya hidup yang proaktif dan pengesanan awal gejala kemerosotan kognitif boleh memberi impak positif terhadap kesihatan otak dan mencegah masalah neurodegeneratif di kemudian hari,” katanya lagi.
Pemakanan yang kaya dengan Omega-3, terutamanya ikan, disarankan oleh Dr. Mike Chan sebagai salah satu cara untuk mengekalkan fungsi kognitif yang sihat.
Malah tambahnya, pengambilan alkohol harus dielakkan kerana ia boleh mempercepatkan kemerosotan otak, terutamanya selepas umur 60 tahun.
Sebagai pengasas beberapa organisasi perubatan terkemuka yang menyokong penyelidikan dalam bidang regeneratif, Dr. Mike Chan juga telah melancarkan Pusat Premier European Wellness yang ke-46 di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI