Jurusolek selebriti, Emmy Agung dilaporkan telah pergi mengadap Illahi pada lewat petang Isnin.
Khabar mendukacitakan itu dimaklumkan menerusi akaun Instagram Allahyarham yang dikemas kini oleh ahli keluarganya.
“Dukacita dimaklumkan Emmy telah menghembuskan nafas terakhir selepas maghrib tadi.
“Insya-Allah jenazah akan dikebumikan malam ini juga di Tanah Perkuburan Sungai Pusu.
“Didoakan semoga Allah mengampunyi, merahmati dan menempatkan beliau bersama-sama para Nabi, syuhada dan solihin,” tulis pengendali terbabit.
Emmy atau nama sebenarnya, Yusshaimi Mohamed Yunus terlebih dahulu dilaporkan dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri sejak minggu lalu dan difahamkan punca kematian akibat kanser.
Sepanjang kariernya, jurisolek berkenaan telah menatarias ramai selebriti tanah air. Malah ada di antara mereka yang turut mengenang seterusnya memberikan penghormatan terakhir buat arwah.
Pelakon, Anzalna Nasir misalnya kembali mengimbau memori kerjasamanya dengan Emmy yang diabadikan menerusi Insta Stories.
Jelas Anzalna, dia pernah berkerjasama dengan jurusolek berbakat itu ketika penggambaran pra-perkahwinannya, beberapa tahun lalu.
“Pernah bekerjasama bersama @emmyagung untuk pre wedding, dia mekap masa tu. Arwah seorang yang amat disenangi dan disayangi ramai. Sentiasa happy dan tak pernah dengar dia mengata orang.
“Al-Fatihah. semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman,” tulis Anzalna yang disertakan dua keping foto lamanya.
Foto: Instagram Emmy Agung, Anzalna Nasir