Pelakon dan ahli perniagaan, Wawa Zainal atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin berjaya membuktikan berkahwin pada usia muda tidak menjadi penghalang untuknya hidup bahagia atau dibelenggu kesusahan.
Menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram miliknya, isteri kepada pelakon, Aeril Zafriel ini menjelaskam setiap perkara yang pernah diperkatakan itu menjadikan dia sebagai seorang individu yang kuat demi mencapai kejayaan.
“Pernah tak orang pandang rendah pada kalian? Saya juga pernah. Tapi kata-kata mereka itu, kita jadikan semangat untuk berusaha lebih lagi. Jangan pernah murung.
“Dan ketika kita dah capai apa yang diimpikan dan ketika kita sudah punya segalanya, janganlah sombong dan terlalu bangga dengan apa yang kita ada dan jangan pernah memandang rendah pada orang lain,” tulisnya.
Bintang berusia 29 tahun ini menambah, dia juga masih segar dalam ingatan apabila ada yang mengatakan hidupnya akan susah dan perkahwinan pada usia muda tidak akan kekal lama.
“Tapi kata-kata mereka saya jadikan pembakar semangat untuk terus melangkah, terbang lebih tinggi dan hari ini Alhamdulillah saya berjaya buktikan yang saya juga boleh berjaya.
“Selepas ini, impian saya nak bantu orang lebih ramai lagi. Teruskan usaha, jangan putus asa ketika orang pandang rendah okay,” tulisnya.
Perkongsian tersebut nyata mendapat perhatian daripada para pengikutnya. Masing-masing memberikan reaksi terhadap perkongsian Wawa.
Malah, ada beberapa komen yang diberikan mendapat reaksi balas daripada Wawa, misalnya ketika ditanya berapa usianya saat berumah tangga.
Wawa mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aeril ketika dia berusia 19 tahun, sementara suaminya pula berusia 24 tahun ketika itu.
Sehingga kini, pasangan selebriti tersebut hidup bahagia harmoni bersama tiga cahaya mata.
Foto: Instagram Wawa Zainal