Penyanyi meningkat naik, Aina Abdul akui terkesan dengan segelintir komen yang dilemparkan netizen terhadap imej serta penampilannya.
Bagaimanapun penyanyi lagu Sumpah ini, tidak mudah melinting mengenai perkara tersebut dan menganggap ia sebagai cabaran anak seni dalam bidang nyanyian.
“Saya sebagai pendatang baru, banyak belajar banyak perkara (fesyen) yang pelik-pelik dan diluar jangkaan. Saya suka nak mencuba, tetapi perkara itu membuatkan orang ramai yang mengecam saya.
“Walaupun ada yang kutuk, saya perlukan publisiti sebegitu. Saya tak rasa ‘down’ yang melampau kerana saya yang pilih untuk berpakaian sebegitu,” kata Aina kepada MH ketika ditemui di IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.
Mahu memandang ke arah positiif, pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani ini menagnggap setiap komen netizen sebagai penguat semangatnya.
“Sekiranya saya berpakaian pelik sekalipun, kalau dilihat dari sudut positif, orang mencari siapa ‘Aina Abdul’. Saya mahu cuba memberi kelainan dalam imej saya, sekurang-kurangya saya orang bercakap fasal saya,” jujurnya.
Pernah menerima komen yang kurang enak didengar, Aina tenang berdepan dengan situasi tersebut.
“Sejujurnya, saya tak nak baca komen, saya takut dan saya tak akan balas. Terutamanya komen mengenai penampilan saya.
“Komen itu membuatkan saya terasa hati. Apabila baca komen di Instagram, ada yang cakap “kau patut buat muka”. Komen sedemikian antara yang sangat pedih.
“Bagaimanapun, ada juga saya dapat komen yang baik, Alhamdulillah,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Aina sudah membuat beberapa persiapan dari segi mental dan fizikal untuk beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-34, Ahad dengan mempertaruhkan lagu Sumpah hasil ciptaannya sendiri.