Penyanyi Heedan Mohd yang baharu melancarkan single berjudul Amarahmu tidak menafikan ada segelintir peminat yang samakannya dengan beberapa penyanyi lelaki popular sedia ada.
Bagaimanapun, Heedan atau nama sebenarnya Nik Shahidan Nik Mohamad, 22, berkata, dia percaya rezeki selain akui masing-masing ada kekuatan mereka yang tersendiri.
“Saya rasa tak sama kot kalau ada yang kata saya iras Haqiem Rusli. Kalau Usop mungkin iya. Malah Usop sendiri ada beritahu saya mengenai persamaan kami melalui Instagram. Saya ada balas mesejnya dengan baik.
“Kalau nak dikatakan sama dengan mana-mana artis lelaki yang sebaya, rasanya mungkin kerana penampilan dan imej sahajalah. Apa pun saya percaya masing-masing ada kekuatan sendiri, identiti kami pun berbeza-beza.
“Siapalah saya kalau nak dibandingkan dengan mereka yang sudah ada nama dan pengikut sendiri. Cuma saya nak ucap terima kasih buat peminat sebab sekurang-kurangnya ada yang sedar dengan kehadiran saya dalam industri,” katanya kepada MH.
Heedan berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Single Amarahmu di Red Box Karaoke The Gardens, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulas mengenai naskhah yang dihasilkannya sendiri bersama Knight Cydeen ini, Amarahmu merupakan single kedua Heedan selepas pertama kali melancarkan lagu sekitar 2019 lalu.
“Pada awalnya saya agak ragu-ragu untuk melancarkan lagu ini memandangkan kali terakhir saya lancar lagu sekitar tiga tahun lalu. Saya merasakan tak akan ada yang ingatkan saya lagi.
“Namun sangkaan meleset, pemintaan itu masih lagi ada. Jadi sebab itulah saya memberanikan diri. Malah ada yang menantikan bila saya akan lancarkan lagu ini sebab saya pernah nyanyikan Amarahmu di media sosial, jadi ada yang tunggu.
“Syukur dengan penerimaan yang baik dan sehingga kini, muzik video lagu tersebut juga sudah pun ditonton hampir 80,000 kali selepas dimuat naik awal Februari lalu. Saya pencapaian yang positif saya kira bagi pendatang baharu seperti saya.
“Pada saya, Amarahmu mempunyai kekuatan dari segi melodi dan bait lirik dengan susunan melodi yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat.
“Lagu ini disiapkan pada tahun 2020 ketika negara melalui fasa pandemik PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya lagi.
Berasal dari Kelantan, Heedan sebelum ini pernah muncul menerusi program I Can See Your Voice dan memenangi siri episod tersebut bersama Aliff Satar.
Amarahmu juga menjadi antara runut lagu yang dimainkan di dalam drama bersiri, Bawah Blok yang bersiaran di TV3.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.