“Pernah Hadapi Depresi, Anxiety Disorder Dua Tahun Lalu Dan Saya Alami Tekanan Sama Apabila…,” – Pendedahan Noh Hujan

Share

Masih terkesan dengan misi kemanusiaan yang disertai, Noh Salleh mengakui selama ini erti kesyukuran seringkali disalah erti.

Terlintas dalam fikirannya, apa lagi yang dimahukan dalam kehidupan selepas melihat kesengsaraan kanak-kanak mangsa perang.

Apabila menatap penderitaan mangsa anak kecil putus kaki dan buta akibat serangan sniper di depan mata, Noh kian rasa terkesan.

“Kadang kala saya terfikir, mengapa ada di antara kita di Malaysia yang tidak bersyukur. Saya telah melihat perkara yang paling teruk di depan mata, kanak-kanak berusia lima tahun ditembak di bahagian kaki, dibakar sekeluarga.

“Saya pernah hadapi depresi dan anxiety disorder dua tahun lalu dan baru-baru ini saya mengalami tekanan sama apabila melihat kanak-kanak ini menjalani rawatan psiko-sosial.

“Perang berlangsung lapan tahun, namun kanak-kanak ini baru berusia tujuh tahun. Bayangkan, bila mereka lahir terus dalam situasi perang.

“Kanak-kanak ini bermimpi ngeri setiap hari, rumah terbakar, kaki terputus dan kereta kebal. Dan lebih menyedihkan, mereka tidak dapat membezakan realiti dan mimpi ngeri.

“Mereka tidak layak menjalani kehidupan yang sangat ekstrem dan itu yang menyebabkan saya tertekan.

“Bila di persimpangan depresi, saya mula mempersoal apa tujuan kita hidup. Saya meminta jawapan Nina, dan ia sungguh mudah, untuk menyembah Allah,” katanya.

Pada masa sama, suami kepada Mizz Nina ini turut menambah, kerja amal yang dilakukan bermula dalam keterpaksaan, namun ia memupuk kesedaran dalam diri seiring masa.

Penyanyi dari Sarawak ini juga berkongsi fasal soal pilihan dalam hidup.

“Saya teringat salah seorang sukarelawan memberi pandangan ketika perjumpaan di Lubnan. Jelasnya, ia berkaitan pilihan. Kita di Malaysia ada pilihan untuk melakukan apa sahaja.

“Namun di sini, apa pilihan yang mereka ada. Setiap hari ibu bapa melihat anak-anak mati di depan mata kerana tiada apa boleh dilakukan.

“Mendengar kenyataan beliau, saya terus berjujuran air mata. Bayangkan kami yang belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata pun tidak dapat mengawal kesedihan, inikan mereka yang melaluinya,” katanya kapada MH.

Pernah terlintas untuk meninggalkan dunia hiburan yang disifatkan penuh noda, namun dia harus akur, pengaruh sebagai selebriti penting untuk memberi impak kepada masyarakat.

“Saya banyak kali berada dalam persimpangan lebih-lebih lagi apabila melihat kesengsaraan mereka. Sama ada mahu melepaskan semua kebendaan dan memberi fokus kepada akhirat.

“Cuma satu yang buat saya terfikir, Allah telah berikan sedikit keistimewaan dan pengaruh sebagai public figure. Jika saya lepaskannya, bagaimana saya mahu terbitkan kesedaran dan mengajak mereka yang lain melakukan kebaikan.

“Industri muzik ini apa sebenarnya? Ia hanya sekadar hiburan, penuh dengan gosip yang membina jambatan menuju ke neraka. Saya tak mahu hidup dalam industri semata-mata untuk terkenal, tidak mahu dipersoalkan kelak di sana,” ulasnya lagi.

Terdahulu, Noh ditemui media pada majlis Sidang Media Pemacu Api Tour 2019 di Gasket Alley, Damansara.

Pemacu Api Tour merupakan jelajah kumpulan muzik Toko Kilat dengan penampilan istimewa Noh Salleh yang akan berlangsung di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur. Jelajah ini bermula 17 Ogos sehingga 14 September depan.

 

 

Published by
Noraini Abd Wahab