“Pernah Hutang Makan Di Mamak, Pernah Berhutang Dengan Mamak Itu Sendiri,” – Shuk Throwback Zaman Sukar

Share

Pelawak Shuk menerusi IG TV Instagram TV3 Malaysia ada berkongsi kisah perjalanan seni dari awal sehingga kini. Menerusi slot istimewa Kisah Seorang Pelawak; Bintang Bersama Bintang itu, Shuk mengakui kerjaya seninya tidaklah berjalan lancar seperti disangka.

Katanya ketika ditemu bual hos, Ahmad Fedtri Yahya, dia pernah melalui zaman sukar selepas menyertai sebuah pertandingan lawak.

“Saya bermula sekitar tahun 2011 dengan menyertai sebuah program lawak. Kemudian saya sertai pula program lawak yang lebih besar. Dekat situ okay, tetapi perjalanannya tidaklah seindah yang orang nampak.

“Saya pernah hadapi zaman sukar, pernah makan nasi berlaukkan kicap dan pernah berhutang makan dengan kedai Mamak. Saya pernah hutang dengan Mamak itu sendiri,” katanya yang mengakui pernah alpa kerana boros.

Katanya dia agak boros memandangkan dia tidak pernah pegang nilai wang yang besar jumlahnya.

“Agak boros sebab masa tu kita dapat pegang duit kemenangan. Saya pun tak pernah pegang duit sebanyak tu. Jadi masa tu kita nak beli apa yang kita nak, sampai tiba-tiba saya tersedar masa tu duit dah habis,” akuinya jujur yang pada ketika itu masih bergelar pelajar.

Ditanya mengenai sejauh mana dia berpuas hati setelah dapat memberikan sesuatu buat kedua orang tua atas kejayaan yang diraihnya kini, Shuk ada jawapan sendiri.

“Alhamdulillah saya rasa puas hati sebab dapat buktikan pada mereka akhirnya saya dapat buktikan saya mampu hidup dengan jalan yang saya pilih dan dapat berikan mereka sedikit.

“Meski kalau nak dibandingkan dengan jasa mereka yang tak ternilai,” kongsi Shuk panjang lebar. Perkongsian penuhnya boleh diikuti menerusi IG TV, TV3 Malaysia.

Foto: Instagram TV3 Malaysia

Published by
Rafiq Mazlan