Penyanyi, Dayang Nurfaizah hilang kata-kata setelah menerima khabar berita pemergian penulis lirik dan bekas wartawan hiburan, Allahyarham Rudy Imran Shamsudin atau Iman Imran, semalam.
Menerusi perkongsian di Instagram, penyanyi yang sinonim dengan lagu Di Pintu Syurga Ini turut imbau kenangan ketika pernah berkerjasama dengan arwah, sebelum ini.
Akui Dayang, Allahyarham antara individu banyak berjasa sepanjang penglibatannya dalam karier seninya.
“Dayang kehilangan seorang lagi insan yang besar jasanya dalam perjalanan seni Dayang.
“Rudy Imran yang biasa Dayang panggil Abang Rudy antara orang yang melihat Dayang ‘membesar’ di dalam bidang muzik.
“Bermula dari hubungan antara wartawan dan artis hinggalah Abang Rudy menulis lirik untuk lagu-lagu Dayang.
“Terlalu banyak kebaikan Abang Rudy, orang sekeliling sentiasa menyenangi.
“Dayang bagai hilang kata-kata kerana semuanya berlaku sangat cepat. Akan Dayang kenang setiap kenangan indah sepanjang kerjasama kita,” tulisnya.
Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Sarawak ini mengakui turut berasa terkilan apabila tidak berkesempatan merakamkan sebuah lagu ciptaan terbaharu karya Allahyarham.
“Dayang berasa sedikit ralat kerana tak sempat rakamkan lagu yang Abang Rudy tuliskan liriknya.
“Andai dapat diulang masa, Dayang nak rakamkan lebih awal agar Abang Rudy dapat mendengarnya. Namun mungkin inilah buah tangan terakhir Abang Rudy buat Dayang sebagai memori di hari mendatang.
“Semoga roh Abang Rudy ditempatkan di kalangan insan yang dikasihi Allah. Semoga kita bersua ‘Di Pintu Syurga’ Al-Fatihah. @iman_imran75,” tulisnya lagi.
Sekadar informasi, lirik lagu Di Pintu Syurga nyanyian Dayang adalah hasil nukilan Allahyarham dan telah dinobatkan sebagai juara di Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-31, pada tahun 2017.
Media melaporkan, Rudy yang menghidap penyakit kanser usus telah disahkan meninggal dunia di kediaman keluarganya di Semenyih, Selangor, pada pagi Khamis.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Dayang Nurfaizah