Pelakon meningkat naik, Siti Khadijah
Halim bersetuju dengan kenyataan rakan selebriti, Janna Nick yang menyifatkan seseorang itu harus bekerja keras di usia muda untuk mencapai keseimbangan dalam pekerjaan dan kehidupan.
Menurut Siti, seseorang itu harus merasai kepayahan dahulu sebelum merasai nikmat kesenangan.
“Untuk capai keseimbangan dalam pekerjaan dan kehidupan, kita kena kerja keras dahulu. Kenapa Janna boleh hidup senang pada usia dia sekarang, kerana kerja keras dia.
“Apa yang diperkatakan oleh Janna itu adalah kebenaran yang menyakitkan. Mahu atau tidak, kita kena hadapinya.
“Nak capai work life balance, kita kena jadi kuli dahulu. Sebelum saya berada di mana saya berdiri sekarang, saya juga pernah dimaki, balik lambat dan kena campak skrip.
“Namun, saya juga faham. Gaji menima di negara kita ini agak rendah. Kita tiada kuasa melainkan kerajaan,” katanya kepada MH.
Pelakon drama Sekali Lagi Cinta Kembali itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa Viu Together Gather di Pavillion Hotel baru-baru ini.
Katanya lagi, beban kerja sebagai anak seni tidak sepatutnya dipandang rendah dan dibandingkan dengan kerjaya-kerjaya yang lain.
“Bila bergelar selebriti, orang ingat kerja kita mudah. Pakaian cantik, rambut siap didandan, muka disolek dan hanya bersuka ria di majlis-majlis. Sebenarnya, semua pekerjaan penat.
“Kalau pekerjaan lain terpaksa tidur lewat untuk siapkan kerja. Begitu juga dengan anak seni. Setiap pekerjaan ada cabaran yang tersendiri. Anda tak boleh cakap kerja sebagai selebriti ini mudah.
“Kita ambil apa yang dikatakan Janna itu daripada sudut yang positif. Kalau kita melihat sesuatu perkara itu daripada sudut negatif, negatiflah jadinya,” ujarnya lagi.
Menyifatkan dirinya bukan daripada keluarga senang, Siti mendedahkan dia tidak kisah untuk menerima apa sahaja jenis tawaran demi membantu keluarga.
“Ada sebab Allah hadirkan kita di muka bumi ini. Salah satu diantaranya adalah untuk menghentikan taraf kemiskinan di dalam keluarga.
“Saya bukan daripada kalangan keluarga senang. Jadi, apa yang saya buat, saya lenjan sahaja diri ini untuk menerima banyak tawaran.
“Tak kisahlah watak utama, pembantu atau selingan, saya tetap terima. Saya memang all out kerana ibu bapa saya tidak bekerja. Begitu juga dengan kakak saya dan abang saya pula hanya bekerja di hospital.
“Saya sedikit sebanyak membantu mereka,” akhirinya.
Baru-baru ini, menerusi satu program podcast, Janna telah dikecam hebat netizen gara-gara tindakkannya yang mempersoalkan pilihan anak muda masa kini yang lebih mementingkan keseimbangan dalam kehidupan dan pekerjaan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI