Penyanyi Aina Abdul akui terkejut dan terharu atas sambutan luar biasa yang diterima selepas tiket ‘showcasenya’, A Night With Aina Abdul yang bakal berlangsung di sebuah lokasi di ibu kota pada 16 dan 17 Disember nanti habis dijual dalam tempoh 48 jam.
Penjualan tiket berharga RM190 itu mula dibuka kelmarin.
Tambah penyanyi lagu Semalam ini, dia teruja mengenangkan ini merupakan ‘showcase’ pertama yang dianjurkan.
“Saya sangat teruja sebab ini bakal menjadi ‘showcase’ pertama saya sepanjang berkecimpung dalam bidang muzik.
“Sebelum ini saya memang ada buat persembahan tapi berskala kecil. Pernah acara yang dianjurkan tidak ramai penonton yang datang dan menyanyi di hadapan satu meja tetamu.
“Tapi kali ini saya tak sangka tiket terjual dengan begitu pantas. Ini adalah impian saya sejak dulu lagi.
“Saya difahamkan rata-rata yang membeli bukan hanya dalam kalangan kelab peminat saja, tetapi ada juga pencipta muzik yang meminati lagu-lagu yang saya bawakan serta rakan-rakan selebriti,” katanya.
Tambahnya lagi, meski pada awal banyak perkara yang difikirkan misalnya sejauh mana segi penjualan tiket, namun Aina bersyukur apabila segala urusan dipermudahkan.
“Saya memang sudah lama merancang untuk mengadakan ‘showcase’ dan mahu diadakan secara dalam talian susulan penularan Covid-19, tapi sebaik kerajaan umumkan konsert dibenarkan saya terus berbincang dengan pasukan saya.
“Alhamdulillah bulan lalu kami berjaya mendapat lokasi terbaik dan terus membuat tempahan. Saya juga enggan fikir panjang sebab bimbang apa yang dirancangkan tak jadi nanti.
“Kalau dulu ada saja halangan seperti kekangan masa dan kewangan tapi kali ini Alhamdulillah semuanya bergerak sangat cepat. Saya harap ia dapat diadakan seperti yang dirancang dan dipermudahkan,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI