Positif dan rela andai pesaingnya, Naqiu menjadi juara di pentas akhir Gegar Vaganza 6 (GV6), Hady Mirza akui pernah rasai pengalaman indah saat ditabal sebagai juara Singapore Idol 2006 dan Asian Idol 2007 sebelum ini.
Atas sebab itulah, dirinya turut mahu bintang berusia 33 tahun itu merasai momen sukses yang sama.
“Sejujurnya saya mahukan Naqiu menjadi juara. Jika Naqiu menang, saya sangat gembira.
“Saya pernah merasai perasaan menjadi juara dahulu dan saya mahukan orang lain dapat merasainya. Kemenangan tidak menjamin kerjaya di masa hadapan.
“Saya sendiri lalui perkara yang sama. Apapun, saya bersyukur kami berdua dapat merasainya,” jelasnya jujur kepada MH.
Sewaktu namanya diumum bersama Naqiu memegang takhta juara GV6, pemilik nama Mohammad Mirzahady Amir pada mulanya tidak menafikan, dia bingung bagaimana seharusnya kedua-dua tampil ke depan menerima pengiktirafan tersebut.
“Kami berdua tidak tahu apa yang harus dilakukan kerana sewaktu latihan, hanya diberi taklimat cara mengambil hadiah bagi tempat yang sepatutnya. Jadi apabila ada dua juara, bagaimana?
“Sewaktu kedua-dua gambar kami keluar di skrin, saya mengharapkan salah satu gambar akan terpadam namun tiada.
“Apabila Naqiu khabarkan kami berdua juara, baru saya sedar,” tambahnya lagi.
Pernah khilaf suatu ketika dulu apabila mengambil keputusan untuk tidak terus menyanyi selepas memenangi deretan anugerah, kata penyanyi dari Kota Singa ini, anugerah tidak pernah sesekali menjamin kerjaya di masa depan.
“Alhamdulillah rezeki. Syukur industri hiburan Malaysia menerima baik kehadiran saya dan berikan peluang kedua.
“Selepas bergelar juara, kena teruskan dan jangan sesekali berhenti. Macam saya, dulu saya berhenti menyanyi kerana malas. Lagipun waktu itu saya masih muda,”
katanya yang mendapat jumlah markah sama dengan Naqiu, 87 peratus di malam final GV6.Hady membawa pulang RM100,000, trofi, pakej percutian ke Eropah Timur dan Asia Barat, pakej ubahsuai ruang tamu dan ruang makan serta penginapan hotel.
Bintang senior, Jatt Ali menduduki tempat ketiga, Nurfatima di kedudukan keempat, diikuti One Nation Emcees (kelima) dan Sham Visa (keenam).