“Pernah tolak, tawaran hampir setengah juta ringgit untuk satu jenama. Kalau nak diikutkan memang banyak amaun yang ditawarkan tetapi saya rasa ia belum lagi sesuai untuk saya.”
Demikian kata pelakon dan penyanyi terkenal, Ayda Jebat yang mengakui pernah menolak secara baik tawaran daripada beberapa jenama yang berminat untuk ‘menyuntingnya’ sebagai duta susulan ia dirasakan tidak sesuai dengan usia dan latar belakang ibu kepada dua cahaya mata itu.
Menurut Ayda, dia percaya kepada kerja ikhlas dan sepasukan akan membawa kepada hasil yang baik dalam menjalani komitmen dengan apa-apa jenama.
“Bila saya rasa ia belum sesuai atau pihak klien yang terlalu mahukan promosi yang terlalu ‘hard sell’, saya tidak berapa setuju. Malah saya juga pentingkan keselesaan terhadap jenama malah bersama pihak klien sendiri.
“Sebab kalau kita bekerja dalam keadaan stres, ia akan beri impak yang tidak baik juga. Bagi saya kita perlu ada keserasian di dalam bekerja sesama individu. Sebab apa pun, kita yang lebih mengenali siapa kelompok peminat kita.
“Semuanya bergantung kepada rezeki, tidak mengapa kalau ia mungkin tidak sesuai dengan saya. Akan tetapi kalau hanya ada satu saja jenama yang kita pegang dan kerjasama berjalan dengan baik, ia mungkin akan berterusan sampai bertahun-tahun, insya-Allah,” katanya.
Ayda berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan pengenalannya sebagai duta tuala wanita jenama tempatan, Lafre, baru-baru ini.
Kekal menjadi pilihan beberapa jenama terkenal lokal dan antarabangsa sehingga kini, penyanyi lagu Mata itu bagaimanapun akui rezeki yang diterima hadir hasil sokongan ramai pihak.
“Kejayaan ini bukan hanya kerja keras daripada saya seorang. Sebaliknya ia rezeki anak bersama ‘team’ yang banyak membantu.
“Saya tidak nafikan, untuk memegang peranan sebagai duta kepada banyak jenama bukan satu kerja yang senang. Bagaimanapun saya seorang yang cerewet dan memilih apa-apa jenama untuk dibawa.
“Bukan sebab duit semata-mata. Mungkin tawaran yang diterima itu mahal, tapi kita tak akan tahu sejauh mana ia sesuai dengan diri selagi belum cubanya sendiri. Kena ambil tahu latar jenama dan sebagainya.
“‘Homework’ itu kena buat terlebih dahulu sebelum setuju untuk ambil mana-mana tawaran. Itu penting bagi saya. Itu nasihat saya terutamanya kepada rakan artis baharu atau pempengaruh.
“Kadang-kadang kita rasa teruja apabila menerima tawaran daripada jenama untuk mengambil kita sebagai wajah hadapan mereka. Akan tetapi adalah amat penting untuk kalian tahu dan kenal sebaiknya jenama tersebut terlebih dulu.
“Itu disiplin yang saya lakukan sejak awal terbabit dalam seni dan alhamdulillah ada jenama yang sudah sembilan, sepuluh tahun bersama saya. Kerjasama itu berterusan dalam satu tempoh yang bukan sekejap, syukur,” katanya lagi.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
View this post on Instagram
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI