Penyanyi yang mendapat jolokan Tony Stark Malaysia, Sham Visa mengakui mengalami sakit tekak hingga menjejaskan persembahan lagu Terima Kasih Cinta yang dipopularkan oleh Agfan pada saingan minggu kelima Gegar Vaganza 6 (GV6).
Menerusi saingan Ahad lalu, bintang berusia 47 tahun itu menduduki ranking kelapan dengan mengumpul markah keseluruhan 53 peratus dari 10 peserta yang masih meneruskan saingan.
“Hari ketiga saya alami masalah ini, saya rasa panas dan sakit di bahagian tekak. Di luar kawalan saya.
“Memang risau, tapi meski dalam kepayahan saya tetap mahu melunaskan tanggungjawab habiskan lagu itu,” katanya kepada MH.
Ditanya adakah ia sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi atau berada dalam tekanan, bapa kepada dua cahaya mata ini tidak menafikan perkara tersebut.
“Sudah tentu… Sebab ia menyakitkan. Sedikit-sebanyak dari perspektif saya sebagai orang yang sudah lama tidak menyanyi dan sertai pertandingan itu adalah serba-sedikit.
“Akan tetapi kini sudah pun minggu kelima saingan dan saya sudah mula biasakan diri dengan perjalanannya,” jelasnya.
Pada masa sama, Sham turut mengakui ada terfikir mungkin namanya akan diumumkan sebagai peserta tersingkir atas faktor persembahan yang kurang meyakinkan pada ketika itu.
“Ada… Sebab jelas persembahan saya tidak bagus dan andai itu berlaku saya bersedia,” katanya sambil turut memberi dedikasi tidak terhingga buat peminat yang tidak putus-putus menyokong perjalanannya di GV6.