Tahniah diucapkan buat penyanyi kumpulan Floor 88, Ayie Elham, 24, yang bakal melangsungkan pernikahan dengan tunang tersayang, Nur Natasha Ahmad Nawawi, 23, pertengahan bulan ini.
Menurut Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah, majlis tersebut bakal diadakan secara kecil-kecilan dengan dihadiri anggota keluarga kedua belah pihak.
“Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan buat kami. Persiapan pun berjalan lancar dan kami turut mendapat tajaan daripada Hansmin Couture untuk baju nikah nanti.
“Kami memang rancang untuk sekadar langsungkan akad nikah dengan disaksikan keluarga saja. Tiada majlis atau keraian apa-apa kerana kami mahu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Kami turut memaklumkan kepada saudara atau rakan terdekat bahawa kami tidak dapat menjemput mereka disebabkan SOP itu,” katanya yang sudah bersedia menempuh fasa baru dalam hidup.
“Beberapa hari selepas majlis nikah itu nanti, saya dan Floor 88 terus sibuk membuat penggambaran muzik video tiga lagu baharu kami. Saya pun bakal terbabit dalam telemovie serta program travelog.
“Memang jadual sibuk sehingga hujung tahun selepas dibenarkan kembali bekerja. Apapun, saya tetap akan cari masa senggang bersama isteri meluangkan masa bersama sebagai pengantin baharu nanti,” katanya.
Untuk rekod, Ayie dan pasangan bertunang pada 2 Januari lalu.
Mereka juga bekerjasama sebagai rakan kongsi untuk perniagaan restoran Ayie Elham Cafe di Setapak, di sini.