Pelakon Trisha Ooi terpaksa menjalani pembedahan segera di Hospital Selayang, Selangor selepas ketumbuhan ‘cyst’ sebesar 6.7 sentimeter (sm) pecah di dalam perut pada Sabtu lalu.
Menurut Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 23, dia sebenarnya sudah lama menghidapi penyakit tersebut dan telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut, cuma tidak sangka ia pecah tiba-tiba sehingga perlu menjalani pembedahan kecemasan.
“Saya rasa dah nyawa ikan. Ketumbuhan ‘cyst’ ini sangat menyakitkan. Saya mula diserang teruk sejak beberapa bulan lalu, namun atas komitmen kerja saya membuat keputusan cuba bertahan dengan mengambil ubat-ubatan diperlukan daripada doktor.
“Tapi, selepas selesai saja penggambaran drama Tentang Hati Dia baru-baru ini, saya tak boleh bertahan lagi. Perut saya ‘cramp’ (kekejangan) hingga kesukaran bernafas dan minta pengurus bawa ke Hospital Selayang.
“Doktor memaklumkan ‘cyst’ saya sudah pecah dan perlu membuat pembedahan segera demi menyelamatkan nyawa. Saya bersyukur pembedahan berjalan lancar dan dipermudahkan urusan,” katanya, lapor Harian Metro.
Selepas mendapatkan rawatan, Trisha masih perlu mendapat pemantauan daripada doktor sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
“Buat sementara waktu ini, nampaknya saya kena betul-betul berehat dulu terutama dari aktiviti lasak sebab keadaan yang masih terlantar di atas katil.
“Saya mohon doakan kesembuhan agar pulih segera. Alhamdulillah, tahap kesihatan saya kini stabil dan menunjukkan pemulihan positif,” katanya lagi.
Trisha mulai dikenali menerusi watak antagonis, Erra dalam drama Risik Pada Hati di slot Akasia TV3 yang ditayangkan tahun lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini