Memulakan latihan siswazah sebagai seorang doktor sejak Oktober lalu, pelakon Adrina Kamaruddin akui kini sedang membiasakan diri dengan rutin kehidupannya yang baharu.
Menurut Adrina, jadual kerja sebagai seorang doktor pelatih sememangnya sangat mencabar dan memenatkan.
“Ketika ini saya memang sangat sibuk. Dahulu, saya ingat orang hanya buat cerita sahaja. Bila saya sendiri sudah mulakan housemanship, memang sangat penat.
“Bila sampai hospital pukul 6 pagi, saya tak dapat nak duduk, pergi tandas atau makan selagi kerja tak selesai. Biasanya kerja akan habis pada pukul 5 atau 6 petang. Saya akan balik pada pukul 10 atau 11 malam.
“Jika ada acara sidang media atau ‘meet & greet’, saya sama ada akan ambil cuti atau buat post-call. Saya akan bekerja dari pukul 8 malam sehingga 9 pagi keesokkannya,” katanya kepada MH.
Bintang kelahiran program Dewi Remaja 2023 itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Rahsiamu Selamat Denganku, baru-baru ini.
Pada masa sama, Adrina turut mendedahkan dirinya tidak mendapat layanan istimewa ketika bekerja meskipun bergelar selebriti.
“Sejujurnya, saya agak terkejut. Lagipun, sudah setahun saya tangguh latihan siswazah ini selepas tamat pengajian dalam bidang perubatan.
“Bila masuk dalam industri, artis juga penat bekerja dari siang ke malam. Namun, ada orang yang menjaga kita.
“Bila saya mula jadi doktor, kini saya pula menjaga orang sampai diri ini tak sempat terjaga. Kena marah itu perkara biasa.
“Walaupun bergelar artis, saya tidak mendapat layanan istimewa. Sebaliknya layanan mereka lagi keras kepada saya. Namun, saya okay sahaja. Saya akan jalaninya sebaik mungkin,” ujarnya lagi.
Namun, dia juga terhibur dengan karenah segelintir pesakit yang mengenali dirinya sebagai seorang pelakon.
“Memang ada pesakit yang ajak bergambar walaupun rupa saya ketika itu sudah macam zombi. Bila mereka nak discaj, mereka nak bergambar. Katanya mereka peminat saya,” kongsinya.
Dalam pada itu, Adrina turut berharap agar namanya tidak akan tenggelam sepanjang dua tahun menjalani tempoh housemanship.
“Saya ada merancang untuk tetap berlakon ketika buat housemanship tapi perkara ini sangat mustahil. Doakanlah saya dapat tawaran telemovie yang boleh shooting lima hingga enam hari.
“Saya tak nak nama saya mati di dalam industri seni ini. Saya pun baru sahaja nak mulakan kerjaya pelakon pada tahun ini. Jadi, saya tak nak sia-siakannya.
“Saya akan habiskan tempoh housemanship ini dan akan kembali ke dalam industri,” akhirinya.
Terdahulu, drama Rahsiamu Selamat Denganku merupakan drama terakhir yang dilakonkan oleh Adrina sebelum memulakan latihan siswazah sebagai doktor.
Selain Adrina, drama ini turut dibintangi barisan pelakon-pelakon hebat seperti Alvin Chong, Siti Khadijah Halim, Haziq Deen dan Adriana Adnan.