Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza pernah mengharapkan peserta program realiti, Big Stage 2 agar lebih bersedia dalam membuat persembahan dari minggu ke minggu.
Memasang harap agar para peserta akan memberikan persembahan lebih baik menerusi lagu-lagu dari penyanyi lain yang bakal dipersembahkan, penyanyi Anta Permana ini turut memberikan tip cara menghayati sesebuah lagu secara ringkas.
“Peserta yang lain mungkin boleh ambil contoh bagaimana Han Byul (peserta Korea Selatan) membuat persembahan. Tak semestinya lagu sedih kena harus berdiri kaku di situ. Kita perlu pada waktu bilakah kita perlu bergerak ke kanan atau ke kiri.
“Akan tetapi jangan sampai pergerakan itu menggangu fokus nyanyian. Sebab itulah apabila setiap kali anda bakal melakukan persembahan atau sesuatu tugasan yang diberi, ambil lagu dan lirik seterusnya hayati,” katanya pada sidang media sejurus konsert pertama.
Malah kongsinya lagi, ia antara tip yang sering diamalkan setiap kali akan membuat persembahan pentas.
“Ambil lirik dan ambil tahu muzik dan masa yang sesuai untuk kita bergerak bersama lirik dan emosi yang betul…barulah cantik.
“Bagaimanapun tidak mengapa kerana anda semua sedang dalam proses belajar,” terang Siti yang turut memberi komen peribadinya terhadap beberapa peserta lain.
Sheryl Shazwani
“Anda kena biasakan pergerakan kerana nampak agak kekok ketika membuat persembahan. Mujurlah anda membuat persembahan di atas platform, akan tetapi masih perlu ada pergerakannya seiring lagu.”
Aziz Harun
“Saya nampak anda membuat persembahan, tinggal lagi saya belum beritahu yang anda kelihatan seperti terlalu gementar, ia ketara ketika menyanyi. Sehinggakan, ia menyebabkan ‘pitching’ itu lari. Wajah tidak boleh menipu dan ketika itu anda seperti mahu ‘cover’. Jadi hal sedemikian perlu jaga.”
Kucaimars
“Saya mengharapkan lebih daripada anda memandangkan anda seorang pelajar teater. Jadi anda pasti lebih mampu untuk menghayati lirik sesebuah lagu.”
Pada konsert minggu pertama, Mark Adam turut diundang sebagai juri jemputan bagi bergandingan bersama dua juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza sendiri dan Cakra Khan.
Big Stage 2 kekal dihoskan oleh pengacara terdahulu, Alif Satar dan Sherry Alhadad dan ia dibawakan khas oleh Vivo selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.
Bersiaran setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123). Personaliti radio ERA, Radin bersama alumni Big Stage musim pertama, Sissy Imann ditugaskan untuk mengacara segmen Big Stage Live Plus yang disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.
Tiada penyingkiran menerusi konsert pertama ini.
Foto: Instagram Siti Nurhaliza, Gempak