Rezeki tidak menyebelahi Mazleela malam tadi apabila namanya diumumkan sebagai peserta pertama tersingkir pada konsert minggu kedua program Gegar Vaganza musim keenam (GV6) yang berlangsung di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Pada konsert berkenaan, Mazleela atau nama sebenarnya, Mazlila Mazlan mempersembahan lagu asal nyanyian Ramlah Ram, Apa Khabarmu Di Sana mendapat markah terendah daripada juri profesional.
Berkongsi rasa apabila dirinya gagal mara ke peringkat seterusnya, bintang berusia 47 tahun ini akui ralat kerana tidak berjaya memuaskan hati para juri profesional.
Mazleela bagaimanapun reda dan menyifatkan rezeki masih terbuka luas buatnya meski tidak lagi bersaing dalam program berkenaan.
“Ada banyak faktor, salah satunya ialah saya tidak mampu untuk mendengar audio yang tidak begitu jelas, sama seperti minggu lalu. Ia secara tak langsung mengganggu. Muzik okay akan tetapi ia tidak jelas.
“Mungkin kerana saya tidak terbiasa kerana sebelum ini saya hanya melihat monitor di hadapan pentas. Jadi bila ia berlaku, macam ada gangguan sedikitlah, saya sukar untuk imbangkan antara muzik serta vokal” katanya kepada MH.
Menyifatkan keputusan pada malam ini sebagai adat dalam pertandingan, penyanyi yang sinonim dengan lagu Tabah ini juga turut berbesar hati kerana diberi ruang kembali memeriahkan dunia seni.
“Kalau tak ada rasa kecewa, tipulah namanya. Mestilah ada rasa ralat. Cuma saya tak nak fikir rasa hampa atau kecewa sebab ini adat pertandingan.
“Minggu hadapan pun akan ada penyingkiran. Jadi kena ada sikap terbuka dan reda,” jelas Mazleela yang optimis dan percaya rezeki.
“Yang pasti, GV6 platform yang besar bagi diri saya sebab program ini impaknya kuat. Jadi boleh perkenalkan nama kita kembali dalam industri selepas lebih 20 tahun tak menyanyi di pentas yang besar. Rasa ‘wow’ dan alhamdulillah.
“Malah ketika hadiri uji bakat, saya datang untuk suka-suka dan tidak mahu terlalu serius. Bila berjaya dan dapat panggilan, saya rasa berbesar hati kerana terpilih,” ceritanya lagi.
GV6 yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria dan Ria HD menampilkan Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang sebagai juri tetapi sementara Datin Paduka Julie Sudiro diundang sebagai juri jemputan minggu kedua.