Saingan suku akhir program realiti, Kilauan Emas 2024 malam tadi menyaksikan penguasaan peserta wanita apabila tiga tempat teratas menjadi milik Ina di kedudukan pertama dengan 76.54%.
Sue dan Gie masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga dengan 74.51% dan 72.98%.
Manakala Ron pula memenangi hati penonton dengan menjadi pemenang Anugerah Emas Berkilau Of The Week.
Sementara itu, persembahan kurang konsisten menyebabkan Budin diumumkan sebagai peserta tersingkir dengan markah paling corot di kalangan tujuh peserta lain iaitu hanya 41.74%.
Langkah Bergaya Ina, Pujian Datuk Hattan Jadi Inspirasi
Mengulas mengenai kualiti persembahannya, Ina bersyukur kerana juri berpuas hati sekaligus optimis untuk memberikan yang lebih baik, pada peringkat separuh akhir Ahad depan.
Bagaimanapun, Ina akui para peserta lain juga kian memberi cabaran yang cukup hebat.
“Walaupun tidak berapa sihat, namun saya cuba untuk kuatkan semangat. Show must go on. Malah perasaan gugup itu sudah ada sebelum buat persembahan lagi.
“Kita memang tidak boleh lari daripada rasa gementar sebab saya bukanlah penyanyi profesional yang sering membuat persembahan secara langsung.
“Namun syukur semuanya dipermudahkan. Dapat komen yang positif daripada Datuk Hattan memang memberikan saya semangat. Segala input juri saya akan ambil dan serap, insyaAllah,” katanya.
Malam tadi, Ina memberikan persembahan bersahaja tetapi menyakinkan menerusi lagu Selangit yang dipopularkan oleh Mas Idayu.
Berikut senarai kedudukan para peserta mengikut ranking peratusan markah;
Nyanyian Dari Hati Gie Sentuh Jiwa Ramai
“Saya rasa kalau Liza Hanim ada di sini dia sudah berdiri dan tepuk.”
Demikian penilaian yang diberikan juri jemputan, Jaclyn Victor sejurus Gie selesai membuat persembahan menerusi lagu Siapa Sangka Siapa Menduga.
Meskipun momentum persembahan Gie menurun di penghujung lagu kerana terlupa lirik, namun penjiwaan yang disampaikan berjaya memikat hati juri.
Malah Gie turut kelihatan sebak kerana mengakui dia merindui ahli keluarga yang sudah lebih dua bulan tidak berjumpa.
“Bila kita buat panggilan video, ia tak akan sama bila kita berjumpa. Saya tak mahu nangis, sebab memang mudah sensitif apabila bercakap mengenai keluarga.
“Suami dan anak-anak tidak berkesempatan untuk datang menonton persembahan saya di sini kerana mereka jauh di Mersing, Johor.
“Saya sendiri pun tak sangka apabila produksi tayangkan video montaj keluarga sebelum saya menyanyi. Jadi perasaan itu bercampur-baur waktu menyanyi,” katanya.
Kilauan Emas 2024 dihoskan oleh Elly Mazlein dan Joey Daud selaku pengacara bersama, bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam, Selangor, setiap Sabtu, jam 9 malam di saluran Astro Prima.
Minggu ini, Juara Gegar Vaganza ke-9 yang juga merupakan juri tetap program The Chosen One 2024, Jaclyn Victor berada di posisi juri jemputan di samping juri tetap iaitu Datuk Hattan dan Erra Fazira.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini