Pelakon dan pengarah, Pierre Andre akui lebih selesa dengan kehidupan tanpa telefon bimbit dan akaun media sosial yang kini menjadi keperluan utama setiap individu.
Menurut Pierre atau nama sebenarnya, Muhammad Pierre Andre Nazarul Andre, jika ada yang ingin mencarinya atas urusan kerja atau keluarga, mereka boleh menghubungi isterinya, Siti Nur Hidayah Hashim yang bertindak sebagai pengurus.
“Saya ada telefon bimbit tapi bukan untuk buat panggilan. Saya guna hanya untuk ambil gambar atau video bersama keluarga. Telefon ini tiada servis talian.
“Kalau ada yang nak hubungi saya, boleh cari isteri saya. Dia adalah pengurus yang menguruskan saya. Kalau ibu saya cari, dia akan hubungi isteri saya. Mereka memang sudah macam kawan baik.
“Sebab itu jugalah ramai yang susah nak hubungi saya,” katanya kepada MH.
Anak kepada pelakon senior, Khatijah Tan itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis perlancaran trailer dan OST filem Jangan Pandang Belakang 2, baru-baru ini.
Katanya lagi, dia kini lebih memilih kehidupan yang lebih privasi namun tetap mengambil maklum tentang perkara-perkara yang berlaku di sekeliling.
“Media sosial pun saya tiada tapi saya tak hilang pun. Saya ambil maklum mengenai isu semasa melalui akaun isteri saya cuma saya tidak meletakkan diri saya di media sosial.
“Saya suka hidup dalam keadaan biasa sahaja dan tidak terlalu terbuka. Saya tak nak orang tahu sangat tentang kehidupan saya.
“Saya bukan nak kata saya ‘introvert’ tapi saya tak pandai nak bergaul sangat. Bila dipertemukan dengan isteri yang sama seperti saya, kehidupan kami tidak terlalu menonjol,” ujarnya lagi.
Ditanya sama dia akan kembali menggunakan telefon bimbit memandangkan dia kini sudah kembali aktif di dalam bidang seni, Pierre memaklumkan pendiriannya tidak akan pernah berubah.
“Saya akan kekal sebegini. Kalau ada nak cari saya untuk promosi filem atau tawaran kerja, carilah isteri saya.
“Dulu masa awal-awal tak gunakan telefon, rasa susah juga dan saya perlu guna telefon awam untuk hubungi keluarga. Ramai juga pelik ketika itu.
“Bila tidak menggunakan telefon bimbit, saya rasa tekanan itu kurang dah lebih relaks,” ulasnya lagi.
Pada masa sama, pelakon yang terkenal menerusi drama Dunia Baru ini akui dirinya pernah merajuk dengan dunia perfileman tempatan sehingga memilih untuk berehat hampir 10 tahun.
“Saya gembira dengan kehidupan sederhana. Namun, saya akui adalah sikit merajuk tu. Ada perkara yang saya tidak dapat capai dalam industri ini.
“Saya bukan merajuk dengan sesiapa cuma terkilan pada waktu itu, kenapa industri filem kita tidak berkembang dan tiada asas yang kuat.
“Tapi sekarang keadaan sudah menjadi lebih baik. Makin ramai pengarah berbakat seperti Adrien Teh, Syafiq Yusof dan Syamsul Yusof. Industri kita makin berwarna. Kini saya kembali pula seperti ‘underdog’,” akhirinya.
Terdahulu, filem arahan Pierre, Jangan Pandang Belakang 2 bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada November depan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.