Wanita yang didakwa sebagai kekasih kepada pengarah Syamsul Yusof iaitu Faghirah Fatini Kazaruddin atau Ira Kazar perlu memasukkan pembelaannya dalam saman yang dikemukakan pelakon, Puteri Sarah dalam tempoh sebulan.
Memetik Harian Metro, peguan yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader ketika ditemui selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rofiah Mohamad berkata, mahkamah sudah arahkan pihak defendan (Ira Kazar) untuk memasukkan pembelaan dalam tempoh sebulan.
“Jika perlu jawab kita (plaintif) akan jawab, jika tidak mahkamah akan tetapkan tarikh bicara,” katanya.
Akberdin menjelaskan, mahkamah juga menetapkan 23 Ogos ini untuk pengurusan kes seterusnya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan mahkamah turut mengekalkan perintah interim injuksi yang antaranya defendan serta pihak berkaitan diperintah berhenti mengeluarkan, menyebarkan dan menghantar sebarang kenyataan atau apa saja bentuk gangguan terhadap Puteri Sarah dalam media sosial sehingga kes perbicaraan penuh.
“Pihak defendan tidak membantah dan perintah interim injuksi itu dikekalkan mahkamah. Sebelum ini plaintif sudah mendapatkan perintah interim injuksi dan permohonan itu sudah dihantar kepada defendan pada 28 Jun lalu dan sudah diterimanya,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Puteri Sarah dan Ira tidak hadir ke mahkamah hari ini.
Ditanya adakah kes saman ini berkemungkinan akan diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak, Akberdin berkata, setakat ini kedua-dua belah pihak belum ke arah itu.
“Sekiranya ada inisiatif (selesai cara baik) kita tengok dulu. Kita bukan ‘arrogant’ (meninggi diri) jadi asalkan tawaran itu logikal kita akan pertimbangkan selepas mendapat arahan anak guam (Puteri Sarah),” katanya.
Selain Akberdin, peguam plaintif yang turut hadir dalam pengurusan kes itu ialah Siti Natasha Basheer Hassan dan Ummi Kartini Abd Latiff.
Sementara itu, peguam Ammar Ghalip yang mewakili Ira Kazar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya perlu memasukkan pembelaan dalam tempoh sebulan sebelum atau pada 4 Ogos ini.
“Saya sudah memasukkan dan menyerahkan kehadiran kepada plaintif dan hari ini mahkamah mengesahkan defendan (anak guam) sudah melantik peguam dan kehadiran dimasukkan pada Jumaat lalu,” katanya.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Puteri Sarah telah memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap Ira Kazar yang juga anak kepada pelakon veteran, Kazar.
Sebelum ini, rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah didakwa dilanda masalah disebabkan kehadiran orang ketiga.
Puteri Sarah juga mengakui sudah tidak tinggal sebumbung dengan Syamsul, malah mendakwa suaminya tahu kenapa dirinya bersikap ‘dingin’.
Syamsul pada masa sama juga dilaporkan mengaku tidak tinggal sebumbung, tetapi tidak bermaksud mahu berpisah.
Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua anak iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Sumber: Harian Metro
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI