Pilih Bersalin Secara Pembedahan, Ayda Jebat & Nabil Mahir Bakal Timang ‘Baby Girl’ – “Memang Nak ‘Czer’, Sebelum Kahwin Pun Sudah ‘Plan’ Begitu.

Share

Pasangan selebriti, Ayda Jebat dan Nabil Mahir mengumumkan mereka bakal menimang cahaya mata perempuan hujung September depan.

Menerusi video yang dimuat naik ke saluran YouTube mereka Wuvv Show kira-kira jam 9.00 Jumaat malam, Ayda dan Nabil membuat pengumuman tersebut di hadapan anggota keluarga yang dilakukan di kediaman mereka selain turut disaksikan rakan terdekat secara virtual.

Video berkenaan sehingga kini sudah pun meraih hampir 40,000 tontonan.

Sementara itu, di dalam temubual bersama media yang berlangsung malam tadi juga, Ayda berkongsi hasrat untuk bersalin secara pembedahan.

“Saya memang sudah buat keputusan itu. Bukan apabila ketika dapat tahu mengandung, tetapi sebelum berkahwin pun saya sudah nyatakan hasrat itu pada Nabil.

“Saya kata nanti bila kita kahwin, kalau ada rezeki hamil, saya pilih untuk bersalin secara pembedahan. Tiada sebab… tapi memang saya yang pilih untuk ‘czer’,” katanya.

Tambah Ayda, dia juga turut menyatakan perkara sama terhadap doktor yang merawatnya sepanjang kehamilan.

“Doktor ada tanya sama ada saya mahu bersalin secara normal atau ada perancangan untuk ‘czer’. Jadi saya beritahu memang nak ‘czer’, malah sebelum kahwin pun memang sudah ‘plan’ begitu.

“Bayi dalam kandungan sihat alhamdulillah dan saya pun sihat. Doktor pun sudah tanya betul-betul untuk dapatkan kepastian,” katanya lagi.

Penyanyi lagu Mata itu sebelum ini dijangka akan bersalin pada 8 Oktober, namun kerana dia memilih untuk menjalani pembedahan, dia akan bersalin dua minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan.

Sementara itu, Ayda mengakui turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghadkan aktiviti keluar rumah ekoran situasi pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah saya sudah lengkap dua dos vaksin tapi tetap tidak keluar tanpa urusan penting. Saya juga ada kumpulan sembang bersama para ibu hamil bagi berkongsi dan bertanya hal berkaitan,” katanya.

Untuk rekod, Ayda dan Nabil mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021 selepas lapan bulan mengikat tali pertunangan.

Published by
Rafiq Mazlan