Pilih Jay Jay & Ernie Zakri, Siti Nurhaliza Mahu Bantu Rakyat Susah & Sekolah Di Gaza

Share

Selepas hampir lapan tahun, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza teruja untuk kembali mengadakan Konsert Satu Suara Volume 3 yang bakal diadakan pada 13 Mei depan bertempat di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur.

Memasuki penganjuran kali ketiga, konsert anjuran Siti Nurhaliza Production (SNP) dan Yayasan Nurjiwa ini bakal menggabungkan Siti bersama dua penyanyi hebat tanah air iaitu Jay Jay dan Ernie Zakri.

Menurut Siti, dia memilih Jay Jay dan Ernie kerana mahu menggabungkan tiga era yang berbeza.

“Konsep pemilihan penyanyi pada kali ini adalah saya memilih artis-artis yang hebat ketika era mereka. Saya hormati Abang Jay Jay yang mewakili zaman 80-an. Ketika zaman kegemilangan beliau, saya baru sahaja lahir.

“Erni pula merupakan anak seni semakin hebat melakar nama. Saya dan suami mengagumi beliau sejak usianya masih kecil. Saya memang dah menjangkakan dia akan menjadi penyanyi hebat satu hari nanti,” katanya.

Penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu berkata sedemikian ketika ditemui pada sidang media media konsert berkenaan yang diadakan di sebuah gedung acara di Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu, Siti memberitahu, dia memang sudah lama merancang untuk kembali mengadakan konsert ini, namun, dia harus mendahulukan komitmen lain.

“Saya dahulukan projek-projek yang datang lebih awal seperti konsert atau showcase solo. Bila saya merancang tentang projek di bawah Yayasan Nur Jiwa, saya terfikir untuk kembali mengadakan Konsert Satu Suara.

“Konsert ini sudah menjadi satu jenama yang saya boleh bawa sampai bila-bila. Selepas lapan tahun, Konsert Satu Suara kini kembali semula,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai apa lagi yang dicari oleh Siti meskipun selepas lebih dua dekad mengadakan konsert, ibu kepada dua orang cahaya mata itu memaklumkan salah satu fokusnya kini adalah untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

“Selain persembahan yang menghiburkan orang ramai, kini saya lebih fokus kepada persembahan yang mampu memberikan pulangan kepada masyarakat. Ini memang visi dan misi Yayasan Nur Jiwa.

“Kami akan sentiasa cari jalan untuk adakan kutipan dana agar boleh membantu lebih ramai orang. Saya juga mahu orang di luar sana lebih menghargai antara satu sama lain walaupun minatnya berbeza.

“Bila adanya konsert seperti ini, para peminat saya boleh berkumpul untuk meraikan sesama kita dan bukan untuk menunjukkan siapa yang lebih hebat,” akhirinya.

Terdahulu, sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan buat Yayasan Nurjiwa dan sekolah kanak-kanak di Gaza yang dibangunkan oleh Siti dan suami.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

 

Published by
Aizam Manaf