Penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam akui dia dan isteri, Datin Patimah Ismail reda dan berlapang dada mengenai sambutan Aidilfitri bersama salah seorang anak mereka, pengarah Syamsul.
Menurut Yusof, 68, terpulang kepada Syamsul sama ada mahu pulang berhari raya bersama mereka atau tidak kerana pintu rumah sentiasa terbuka untuknya.
“Kalau dia balik raya, Alhamdulillah. Kalau dia tak balik pun, kami tak ambil hati. Saya dan isteri, Datin Patimah Ismail, sudah reda.
“Sama ada dia balik beraya dengan kami atau tidak, itu Wallahu a’lam (Dan Allah lebih tahu). Dia (Syamsul) pun sebelum ini pernah tak balik raya sampai tiga tahun.
“Lepas itu, dia ada balik sekejap. Tak apalah. Bagi saya, saya redakanlah.
“Pintu rumah kami, sudah tentu sentiasa terbuka untuk dia kalau dia balik. Anak kita kan. Kalau sahabat kita pun, kalau kita ada krisis, tapi kalau dah berhari raya, mestilah beraya ini untuk kita bermaaf-maafan,” katanya, petik Harian Metro.
Mengulas juga persiapan rayanya seisi keluarga, Yusof berkata, seperti biasa persiapan sederhana saja setiap tahun.
“Untuk pagi raya itu, biasalah adik-beradik yang rapat dengan kita balik. Ibu bapa kita pun dah tak ada, kedua-duanya sudah meninggal dunia lama, jadi kita adik-beradiklah datang kunjung-mengunjung.
“Pada hari raya kedua pula, saya bersama isteri akan ke Pulau Pinang selama tiga hari di sana. Tapi, kami akan sambung berkunjung ke rumah adik-beradik selepas pulang semula ke Kuala Lumpur,” katanya lagi.
Yusof menambah, kunjung-mengunjung ketika Aidilfitri menjadi tradisi dalam keluarganya setiap tahun.
Malah ujarnya lagi, dia yang mempunyai tujuh adik-beradik akan bergilir-gilir menjadi tuan rumah untuk meraikan kemeriahan Aidilfitri.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini