Pioneers Sukses Dilancarkan, Snoop Dogg & Joe Flizzow Nyanyi Lagu Tema JDT

Share

Sekali lagi mencipta sukses, kelab bola sepak gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDTFC) menjalin kolaborasi strategik dengan Universal Music Asia Tenggara (UM SEA) dan syarikat rakaman Def Jam menerusi penghasilan lagu tema berjudul Pioneers yang turut menampilkan ikon hip-hop & rap ternama dunia, Snoop Dogg.

Penghasilan lagu tema berkenaan sekali gus memperluaskan lagi strategi penjenamaan global JDTFC melalui kerjasama UM SEA.

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkenan menandatangani kerjasama berkenaan yang disertai Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim di Stadium Sultan Ibrahim, pada Khamis.

Tunku Ismail bertitah, baginda sentiasa komited untuk memberikan yang terbaik demi kemajuan kelab bola sepak dinaungi.

“Apabila bercakap tentang kelab JDT, saya sudah cakap berulang kali, ini bukan hanya sebuah kelab bola sepak.

“JDT merupakan satu empayar. Saya tidak hanya cipta sebuah kelab bola sepak yang biasa-biasa tetapi mempunyai aspirasi dikenali di peringkat antarabangsa.

“Itulah idea penubuhan JDT, sebuah kelab bola sepak yang bagi saya, mempunyai cerita penuh inspirasi,” titah baginda.

Majlis yang berlangsung secara eksklusif itu melakarkan satu lagi momen bersejarah dalam misi perjalanan JDTFC untuk menjadi kelab bola sepak yang diiktiraf global menerusi peningkatan di kalangan peminat antarabangsa.

Pioneers yang dinyanyikan Snoop Dogg dan Joe Flizzow, diterbitkan oleh SonaOne sementara lirik lagu diilhamkan daripada kesungguhan dan kegigihan JDT dalam menetapkan standard baharu bola sepak di Malaysia serta kejayaan yang dicapai sejak 2013.

Rakaman vokal dirakamkan di Los Angeles, Amerika Syarikat dan Kuala Lumpur manakala proses susunan lagu dan adunan muzik dilakukan di Los Angeles.

Video muzik Pioneers turut dipancarkan ke semua akaun media sosial rasmi JDT dan saluran YouTube JDT TV.

Untuk maklumat lanjut, layari www.johorsoutherntigers.my dan akaun media sosial JDT.

Sementara itu TMJ turut memaklumkan, pada awal penubuhan JDT, ada yang memandang enteng tentang masa depan kelab tersebut yang diramalkan hanya mungkin bertahan untuk beberapa tahun sahaja.

Bagaimanapun kini, ia terbukti menjadi sebaliknya.

“Saya akan buat tidak kira berapa ramai yang tidak percaya tentang projek kami. Ramai orang meramalkan bahawa kelab ini hanya akan bertahan untuk tempoh dua tahun. Hari ini, kami dah berusia 10 tahun dan kami semakin kuat hari demi hari.

“Bina kelab bola sepak perkara yang paling susah adalah untuk mendapatkan hasilnya. Untuk mendapat hasil dan wujud bersama secara komersial, ia sesuatu yang kita tak boleh jangka kemungkinannya.

“Kadang-kadang saya cubit diri saya sendiri apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang nyata. Sekarang dah jadi satu kelab yang hebat dan semakin bergerak ke hadapan, kami akan terus komited memperkenalkan jenama yang dibangunkan ke serata dunia,” jelas TMJ optimis.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH