Satu perkongsian video menerusi Instagram hari ini yang memaparkan pertemuan mesra antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan dua kanak-kanak bersama bapa mereka di sebuah pondok di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lekas, mencuri perhatian ramai.
Meski dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri, namun beliau dilihat masih sempat isi masa menyantuni rakyat.
Menerusi video spontan itu, Ismail yang sedang berjalan dan lalu berhenti di pondok terbabit untuk berborak anak-anak kecil yang sedang makan sambil bersama bapa mereka.
“Ternampak dua anak kecil ini sedang makan nasi lemak bersama bapa mereka di R&R Lekas.
“Teruja melihat telatah mereka yang comel dan petah berkata-kata,” tulis beliau di ruangan kapsyen.
Lalu sikap keprihatinan yang dipamerkan beliau disusuli dengan reaksi positif daripada pengguna Instagram di ruangan komen.
Rata-ratanya memuji sikap serta menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang gemar luang waktu bersama rakyat.
Sementara itu, hos dan pelakon Zulin Aziz turut sama tampil memuji sikap Perdana Menteri.
Menurut Zulin, dia sama-sama tumpang gembira sekali gus menyeru sikap sedemikian perlu diterapkan dalam diri golongan bergelar pemimpin.
Perkara tersebut dikongsikan pelakon drama Nahu Rindu ini dalam satu muat naik terbarunya di Instagram.
“Beginilah baru dinamakan Keluarga Malaysia. Walaupun berada di atas, Perdana Menteri kita tetap membumi dan saling menjaga antara satu sama lain.
“Zulin gembira sangat bila tengok video Perdana Menteri meluangkan masa sekejap walaupun sibuk dengan kerja seolah-olah tiada jurang antara kita.
“Budaya sebegini yang perlu diterapkan apabila dilantik sebagai pemimpin,” tulisnya.
“Konsep Keluarga Malaysia memang sesuai dengan keadaan sekarang ini. Kita perlu bersatu dan tak boleh pentingkan diri.
“Terima kasih Perdana Menteri di atas cinta dan kasih kepada keluarga Malaysia,” tulisnya lagi.