Selebriti dan usahawan popular, Noor Neelofa Mohd Noor bersama suami, PU Riz dimaklumkan sudah merekodkan keterangan kepada pihak polis pada petang Isnin berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu majlis pernikahan mereka baru-baru ini.
Memetik laporan Berita Harian, perkara tersebut telah disahkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.
Jelas Mohamad Zainal, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan tersebut pada minggu ini sebelum diserahkan Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
“Polis selesai rakam keterangan Neelofa dan suaminya petang tadi. Percakapan mereka bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya seperti yang dipetik.
Mohamad Zainal turut menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Neelofa sewaktu ditemui media pada Isnin berharap agar semua pihak dapat memberikannya ruang untuk menyelesaikan isu ini secara professional bersama pihak yang terlibat.
Terdahulu, Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih sinonim dengan panggilan PU Riz telah pun melangsungkan majlis pernikahan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, pada tanggal 27 Mac lalu.
Isu pelanggaran SOP pada majlis itu mula dibangkitkan selepas tular di media sosial satu gambar menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP PKP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sumber: BH Online
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI