Tiada kertas siasatan dibuka oleh pihak polis susulan dakwaan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh selebriti yang terlibat dalam rakaman program realiti All Together Now Malaysia yang tular baru-baru ini.
Menerusi laporan Kosmo!, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali dipetik sebagai berkata, setelah semakan dibuat, pihaknya mendapati rakaman program tersebut telah dibuat sebelum arahan PKP 3.0 dikuatkuasakan.
“Tiada sebarang tindakan akan diambil oleh pihak polis kerana program berkenaan dirakam sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedang dikuatkuasakan dan bukannya sewaktu PKP 3.0 seperti yang didakwa oleh orang ramai.
“Rakaman sewaktu tempoh PKPP itu difahamkan telah mendapat kebenaran daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) jadi untuk sebarang perkembangan boleh rujuk dengan mereka,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, menerusi satu kenyataan buat media, pihak penganjur semalam membuat keputusan untuk menghentikan siaran buat sementara waktu program berkenaan, sehingga siasatan berhubung dakwaan berlakunya pelanggaran SOP selesai.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, rakaman program tersebut telah dilakukan pada bulan Mac lalu di Putrajaya sebelum pelaksanaan PKP 3.0.
Malah, krew penerbitan telah menjalankan ujian calitan Covid-19 ke atas semua yang mengambil bahagian sebelum rakaman bermula dan hanya mereka yang berstatus negatif sahaja dibenar meneruskan rakaman.
Raqim menambah, set yang dibina juga telah mengambil kira penjarakan fizikal antara juri dan berjarak 1.5 meters antara juri di samping diletakkan penghadang lutsinar antara mereka selain turut dihadiri wakil daripada agensi-agensi keselamatan.
Terdahulu, satu laporan berita tempatan memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan agar siasatan dilakukan ke atas penerbitan rancangan berkenaan susulan dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
Terdahulu, program tersebut tular di laman media sosial selepas ada netizen yang tidak berpuas hati dengan cara rancangan tersebut yang didakwa dilaksanakan ketika negara sedang dilanda pandemik.
Ini kerena, segelintir netizen berpendapat, program tersebut seolah-olah tidak mematuhi SOP kerana barisan selebriti di kerusi sebagai juri tidak mengenakan pelitup muka sepanjang rakaman berlangsung.
Program All Together Now Malaysia yang disiarkan setiap hari Ahad pukul 9 malam itu diadaptasi daripada format rancangan popular All Together Now yang berasal dari United Kingdom terbitan BBC One.
Sumber: Kosmo!
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI