Berita

Popular Dengan Lagu Jikalau Abang Merindu, Nona Asiah Meninggal Dunia Pada Usia 94 Tahun

Share

Penyanyi bersuara merdu yang terkenal pada era kegemilangan filem Melayu di Singapura, Nona Asiah telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi Selasa, 30 Julai 2024.

Menurut laporan media tempatan, berita tersebut disahkan sendiri oleh anaknya, Indra Shahril Ismail.

Meninggal dunia pada usia 94 tahun di Hospital Besar Changi, Singapura, Nona Asiah terlebih dahulu dimasukkan ke hospital sejak dua bulan lalu akibat masalah buah pingang jantung dan hati.

Allahyarhamah meninggal dunia disebabkan komplikasi penyakit-penyakit tersebut. Pengebumiannya akan dijalankan esok, Rabu, 31 Julai 2024.

Nona Asiah atau nama sebenarnya Asiah Aman dilahirkan pada tahun 1928, terkenal dengan lagu-lagu seperti Jikalau Abang Merindu, Manusia Miskin Kaya dan Dunia Asmara.

Bakat seni Nona Asiah mekar sejak menjadi penyanyi latar untuk filem keluaran Shaw Brothers (MFP) dan Cathay Keris Malay Films.

Suaranya pernah ‘dipinjamkan’ kepada beberapa pelakon hebat era tersebut seperti Siput Sarawak, Kasma Booty dan Zaiton.

Ibu kepada lima orang cahaya mata ini bersara daripada membuat persembahan pada 1970-an.

Dia kemudiannya menjadi jurulatih vokal dengan Bengkel Kanak-Kanak di mana dia bekerja dengan ramai bakat yang muncul dalam siri TV kanak-kanak klasik 1980-an, Aksi Mat Yoyo.

Allahyarhamah merupakan nenek kepada pelakon, Imam Shah yang merupakan suami kepada Hannah Delisha.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hib

 

 

 

 

 

 

 

Published by
Fiezreen