Program ‘Trending’ Berbeza Dengan Program Viral Lain, TV Alhijrah Janji Lebih Berhati-Hati

Share

Selepas dikritikan hebat susulan isu menjemput individu viral, ‘Kak Long 7E’ atau atau nama sebenarnya Wan Nor Baizura Bharudin, 33, bagi program Trending, pihak stesen TV Alhijrah mengambil maklum dengan segala respon yang telah dilontarkan.

Bagaimanapun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris, program Trending tidak akan dihentikan sebaliknya, hanya episod yang membabitkan individu berkenaan sahaja akan digantikan dengan kandungan yang lain.

“Program itu tidak akan diharamkan atau ditangguhkan. Cuma episod yang menampilkan individu tersebut sahaja kita put on hold. Bila kita dah labelkan sebegitu, rasanya kita semua pun boleh faham. Rancangan itu akan diteruskan dengan pengisian yang lain.

“Program ‘Trending’ untuk TV Alhijrah adalah berbeza dengan program-program viral yang lain. Program kami ini sebenarnya mengangkat isu-isu viral dan mengetengahkan bagaimana seorang muslim sepatutnya memberikan reaksi terhadap sesuatu isu.

“Bila kita angkat sesuatu isu, kita tidak pernah pilih kasih atau memilih bulu. Bila kita melihat pada ketika program itu dirakamkan, individu tersebut telah pun menzahirkan permohonan maaf secara terbuka.

“Bila kita melihat kejujuran seseorang itu memohon maaf, kita tiada ruang untuk menjangkakan apa yang akan berlaku pada masa hadapan,” katanya kepada MH.

Terdahulu Namanzee ditemui pada Pelancaran Kempen Ramadan Syawal 1443H dan Aplikasi Terbaharu TV Alhijrah, di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya lagi, pihak TV Alhijrah juga menerima segala teguran tersebut dengan berlapang dada dan berjanji untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Saya rasa ada berlaku salah faham apabila hos jemputan mempromosikan episod tersebut . Apabila dia memuat naik gambar selepas sesi rakaman berkahir, ia menggambarkan seolah-olah kita mengangkat individu tersebut.

“Sedangkan apa yang berlaku sebenarnya, Ustazah Isfadiah sedang memberikan tazkirah kepada individu tersebut untuk tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam agama. Mesej yang ingin disampai sebenarnya sangat baik.

“Tapi pihak kami berlapang dada selepas menerima feedback daripada orang ramai. Kita juga berasa kesal dengan apa yang belaku selepas itu.

“Bila kita lihat semula kepada individu itu sendiri, kami merasakan belum masanya untuk siarkan kandungan tersebut walaupun mesejnya baik,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Namanzee turut berharap agar orang ramai dapat berlaku adil dengan turut sama menyatakan sokongan terhadap program-program TV Alhijrah
yang lain.

“Saya berharap semua pihak juga untuk berlaku adil kepada TV Alhijrah untuk melihat konten-konten kami yang lain. Kami mengambil ruang ini untuk berlapang dada dan kami anggap ini sebagai satu proses kematangan.

“Kita berterima kasih kepada semua yang perihatin. Sebab saya pasti niat, kemarahan dan kecaman mereka ini kerana sayangkan TV Alhijrah.

“Kalau perihatin dengan isu ini, perihatin jugalah dengan program-program kami yang lain seperti program Ramadan dan Raya. Kita ada banyak program dakwah kontemporari yang sangat baik untuk dikongsikan bersama orang ramai,” akhirinya.

Bersempena sambutan bulan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi, stesen TV Alijrah bakal menyajikan pelbagai program-program menarik antaranya My Quran Hour, Assalamualaikum Sahur, Majlis Ayah dan banyak lagi.

TV Alhjrah juga turut memperkenalkan aplikasi terbaru yang dikenali sebagai Alhijrah Apps (AH) yang menayangkan lebih 5000 rancangan keagamaan secara fleksibel.

Aplikasi ini sudah boleh mula dimuat naik menerusi Google Playstore dan Apple Apps Store.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf