Pulang dengan penuh kepuasan! Itu yang dirasai 8,000 peminat setia kumpulan terkenal Indonesia, Dewa 19 yang menyaksikan sendiri keunggulan band itu membuat persembahan sempena meraikan ulang tahun ke-30 mereka di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada malam Jumaat.
Tepat jam 8.35 malam, dua vokalis generasi baharu Dewa 19, Virzha dan Ello membuka tirai dengan lagu Restoe Boemi, I Want To Break Free dan Still I Am Sure We’ll Love Again.
Pengasas Dewa 19, Ahmad Dhani kemudiannya mengambil alih pentas, menyapa Baladewa (gelaran peminat Dewa 19) yang tidak henti-henti memberikan sokongan sejak ia mula ditubuhkan pada 1992.
“Malaysia apa khabar. Senang sekali Dewa 19 dapat datang ke sini.
“Malam ini kami tidak menyanyikan 30 buah lagu sebaliknya hampir 40 lagu untuk semua.
“Jadi buat yang masih belum meminati Dewa 19, anda tunggu sehingga ke habis konsert ini (untuk jatuh hati dengan Dewa 19),” kata Ahmad Dhani penuh teruja.
Persembahan kemudiannya diteruskan dengan seleksi lagu-lagu popular Dewa 19 yang dinyanyikan Virzha dan Ello seperti Juliette, Aspirasi Putih, Takkan Ada Cinta Yang Lain, Bayang-Bayang, Careless Whisper, Selatan Jakarta, Bunga, Aku Milikmu dan Larut.
Memasuki segmen kedua tepat jam 10 malam, suasana menjadi semakin gamat dan riuh apabila Once Mekel pula muncul di pentas bagi meledakkan lagi taring kumpulan itu.
Memilih lagu Roman Picisan sebagai lagu pembuka, kemunculan Once dilihat paling ditunggu-tunggu peminat yang kebanyakannya lebih familiar dengan naskhah-naskhah lagu dilontarkan vokalis tersebut.
“Selamat malam Malaysia. Senang sekali jumpa anda malam ini.
“Malam ini adalah malam terbaik, semoga anda semua enjoy!” kata Once.
Peminat tidak ketinggalan ‘sing-along’ sehingga menggegarkan seluruh stadium Axiata beserta limpahan lampu flashlight daripada telefon pintar masing-masing.
Kemantapan vokal penyanyi berusia 52 tahun itu kemudiannya diteruskan dengan lagu-lagu hits seperti Arjuna, Dewi, Perempuan Paling Cantik Di Negeriku Indonesia, Dua Sejoli, Lagu Cinta dan Mistikus Cinta.
‘Mastermind’ Dewa 19, Ahmad Dhani pula merancakkan pentas dengan lagu yang paling ditunggu-ditunggu iaitu Sedang Ingin Bercinta. Rindu terubat buat peminat di Malaysia apabila akhirnya dapat mendengar sendiri lagu itu dimainkan Dhani yang sebelum ini tidak berkesempatan turun sama bagi menjayakan konsert yang diadakan pada Februari 2019.
Memasuki segmen akhir persembahan, vokalis asalnya, Ari Lasso terharu dengan sokongan yang ditunjukkan Baladewa.
“Kalau bukan disebabkan sokongan daripada kalian, kami tidak akan jadi seperti hari ini,” kata Ari Lasso.
Antara lagu-lagu lain yang sempat dipersembahkan pada hari pertama ialah Cinta Kan Membawaku Pergi, Aku Di Sini, Satu Hati, Cukup Siti Norbaya, Pangeran Cinta, Risah Hati, Satu, Cemburu, Pupus, Kirana, Kangen dan Kamulah Satu-Satunya.
Berlangsung selama hampir empat jam, Dewa 19 kemudiannya melabuhkan tirai dengan membawa naik keempat-empat vokalis untuk sama-sama menyampaikan lagu penutup, Separuh Nafasku.
Ketika nyanyian lagu terakhir itu, belon besar dilepaskan di udara bagi menambahkan lagi warna-warni terhadap persembahan band yang berasal dari Surabaya itu.
Konsert ‘30 Tahun, 30 Kota, 30 Lagu’ turut menampilkan beberapa bekas anggotanya termasuk pemain drum, Tyo Nugros.
Memasuki malam kedua hari ini, ‘Ahmad Dhani and the gang’ berjanji akan memberikan persembahan yang tidak kurang hebatnya, sama seperti pada malam semalam yang membawa peminat pulang dengan seribu satu kemanisan terukir di bibir masing-masing saat melangkah keluar dari stadium!
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: @echolaliapictures