Puji Selebriti Guna Pengaruh Untuk Hal Baik, Ustaz Zakaria Awang Cetus Inisiatif Agih 10,000 Kit Pengurusan Jenazah Percuma

Share

Pertubuhan Sukarelawan Ad Diniah juga tidak terkecuali menjalankan kempen amal pengagihan set kain kafan dan pengurusan jenazah atas paksi kebajikan.

Penaung pertubuhan berkenaan, Ustaz Zakaria Awang berkata kempen sumbangan set pengurusan jenazah termasuk kain kafan itu tercetus sebagai usaha amal kebajikan yang tidak pernah ada noktahnya.

“Kita mudahkan urusan atau ringankan beban orang, insya-Allah urusan sendiri juga akan dipermudah. Berbuat baik dan menambah pahala sendiri tiada garis penamatnya.

“Perkara yang dihadapi dan dilalui bagi setiap yang hidup kadangkala menjadi kesulitan tanpa diduga. Contohnya pihak masjid dan keluarga si mati.

“Jadi tercetuslah idea pihak kami dalam pengagihan set pengurusan jenazah ini. Malah saya memuji ada golongan artis dan ustaz selebriti yang menggunakan pengaruh mereka menjual set seumpama itu,” katanya.

Kempen ini sudah memasuki bulan ketiga dan sudah lebih 300 set kelengkapan berkenaan diagihkan kepada masjid yang memerlukan.

“Selepas tiga bulan kempen ini berlangsung, lebih 20 buah masjid sekitar Kajang dan di Pantai Timur sudah menerima agihan set kelengkapan pengurusan jenazah itu.

“Kebiasaannya, kita akan dapatkan semua senarai masjid termasuklah di Semenyih dan Negeri Sembilan. Malah kita juga berhubung dan merujuk ahli jawatankuasa (AJK) masjid.

“Jika masjid berkenaan ada menguruskan jenazah dan perlukan set kelengkapan jenazah kita akan utamakan kepada masjid memerlukan,” katanya.

Tambah Ustaz, komunikasi antara masjid yang menerima agihan akan berterusan.

“Kebiasaannya masjid yang menerima sumbangan berkenaan akan memaklumkan sama ada ia sudah diguna pakai.

“Malah, jika menerima panggilan dari mana-mana masjid memerlukan, pihak kami akan aturkan agihan sumbangan dengan menghantar wakil untuk sesi pengagihan tersebut

“Bahkan di sebelah Pantai Timur, kami turut mempunyai staf dan wakil yang akan menjadi wakil untuk mengagihkannya set kelengkapan terbabit. 

Ia merangkumi Kota Bharu (Kelantan), Kemaman (Terengganu) selain Johor,” katanya.

Ad Diniah mensasarkan pengagihan pengurusan jenazah termasuk kain kafan lebih 10,000 set.

“Dalam set kain kafan dan pengurusan jenazah ini merangkumi ini 20 barangan termasuk telekung, air mawar, dan alat kelengkapan pemandi jenazah seperti apron, sarung tangan dan sebagainya.

“Kebiasaannya kita mendapatkan kelengkapan ini di kedai berbeza. Ada kedai yang tidak menjual semua kelengkapan dan keperluan diperlukan. Jadi itu agak menyukarkan.

“Pihak kami mengambil masa sekitar dua minggu sekurang-kurangnya untuk menyediakan 100 ke 100 set lain. Kos satu set adalah RM300,” katanya lagi.

Pada masa sama, Ad Diniah juga mengalu-alukan sumbangan dan infak orang ramai dalam mengimarahkan kempen.

Ditanya mengenai keunikan setset pengurusan jenazah ini berbanding dengan set yang lain, Zakaria berkata ia didatangkan dengan kain sudah sedia berjahit dan dipotong.

“Ia lebih memudahkan pihak masjid atau keluarga si mati. . Proses jadi lebih cepat dan menjimatkan masa serta memudahkan urusan menguruskan jenazah,” katanya.

Untuk rekod pertubuhan tersebut diusahakan sejak 1985 dan kini genap usia yang ke-37. Ia bermula dengan program korban dan aqiqah di Malaysia termasuk ke Kemboja.

Pertubuhan yang memiliki 32 staf ini rancak menyalurkan bantuan wakaf Al-Quran, pam air, tandas, basikal dan banyak lagi.

Kini dikembangkan pula dengan pengagihan kit atau set pengurusan jenazah. Bahkan ada pembelian set berkenaan dibeli untuk disimpan di rumah.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH