“Pulut Panggang Ni Terlalu Nostalgik Untuk Saya,” – Hanis Zalikha Terkenang Zaman Mak Ayah Jual Kuih & Nasi Lemak Tepi Jalan

Share

Pelakon, Hanis Zalikha mengimbau kembali detik-detik kepayahan yang pernah dialami keluarganya satu ketika dahulu saat kedua ibu bapanya berniaga kuih-muih dan nasi lemak.

Menurut Hanis, dia teringat kembali detik-detik nostalgia tersebut ketika sedang menikmati kuih kegeramannya iaitu pulut panggang.

Jelasnya lagi, sehingga kini masih tiada sesiapa lagi yang mampu untuk menandingi air tangan ibunya itu.

“Pulut Panggang ni kuih yang terlalu nostalgik untuk saya, memang kalau makan, terus akan dibawa ke zaman Mama Daddy meniaga tepi jalan jual kuih dan nasi lemak.

“Maybe sebab takde masa lain Mama akan buat pulut panggang ni. Sampai sekarang dah tak makan dah sebab memang Mama takde buat dah,” tulisnya.

Kisah tersebut dikongsikan oleh isteri kepada pelakon, Haizul Azreen itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di laman Instagram.

Dalam pada itu, Hanis turut menambah, meskipun dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan, dia tetap berasa amat bersyukur kerana dikurniakan ibu bapa yang sanggup bekerja keras demi menyara keluarga.

“Cuma time nak meniaga dulu tu je. Dan Mama buat memang sedap sungguh sungguh. Tapi yang ni bukan Mama buat. Thank you pulun berusaha besarkan kami dalam kesempitan.

“Kami tak rasa kekurangan bila kenangkan kesusahan tu, yang ingat cuma memori kita satu keluarga bahagia bersama,” jelasnya lagi.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum saat membaca perkongsian daripada Hanis.

Malah, mereka juga turut memuji sikap Hanis tidak segan silu untuk berkongsi mengenai asal usul keluarganya.

“Terharunya baca. Kalau Hanis tak cerita memang tak sangka. So proud to see where you and your family at now.

“Ohh, baru tahu Keknis dan keluarga pernah alami ‘kesempitan’. Ingatkan memang orang senang. Alhamdulilah untuk kehidupan yang sekarang.

“Alhamdulillah, walaupun dah berjaya Keknis tak lupa asal usul dan tak malu berkongsi cerita,” antara komen-komen netizen di laman Instagram.

Published by
Aizam Manaf