Pelakon dan pengacara, Mira Filzah, 29, yang selamat melahirkan cahaya mata lelaki seminggu lalu mendedahkan wajah putera sulungnya itu buat tatapan peminat.
Menerusi Instagram, Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu turut berkongsi nama permata hati iaitu, Wan Khair Amir.
Apa yang menarik, Mira turut berkongsi akaun Instagram Wan Khair Amir dan hasil tinjauan, ia sudah pun mempunyai lebih 30,000 pengikut.
Sementara itu menerusi posting sama, Mira turut mendedahkan ‘Khair’ bermakna baik dan elok sementara ‘Amir’ pula memberi maksud ‘orang yang memegang perintah dan pemimpin’.
“Hari ini hari ke-7 bersama putera tersayang kami. Dengan rasa penuh keinsafan dan kesyukuran, kami menamakan putera kami, Wan Khair Amir bin Wan Emir Astar.
“‘Khair’ membawa makna ‘baik, elok’, juga diambil daripada nama arwah Papa (Wan Mohammad Khair-il Anuar).
“‘Amir’ pula bermaksud ‘orang yang memegang perintah, pemimpin’, juga diambil sebagai variasi daripada nama kami berdua Emir dan Amirah,” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Terdahulu pada Januari lalu, Wan Emir mengesahkan isterinya berbadan dua selepas berbulan menyimpan rahsia.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2 September 2020 dan turut diraikan dalam empat majlis berasingan.
Wan Emir turut memuat naik posting sama yang sekali gus mendapat pelbagai titipan tahniah serta doa yang baik-baik dari rakan artis dan peminat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.