Pergolakan rumah tangga membabitkan pelakon Puteri Sarah memasuki episod baharu apabila aktres itu memfailkan permohonan nusyuz terhadap suaminya, pengarah kontroversi, Syamsul Yusof di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur pada pagi Isnin.
Menurut peguam Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata aktres itu memfailkan tuntutan nusyuz antaranya disebabkan pengarah itu tidak bertanggungjawab namun tidak boleh memperincikan terma-terma kepada umum.
Selain itu, Puteri Sarah turut memfailkan pembelaan tuntutan nusyuz yang dikemukakan Syamsul terhadap dirinya pada 21 Mac lalu.
“Kita sudah memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Syamsul serta memfailkan permohonan pembelaan terhadap dakwaan nusyuz yang difailkan Syamsul kepada Puteri sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, kedua-dua selebriti itu tidak menghadirkan diri pada sebutan kes hari ini.
Sementara itu, peguam Syamsul pula, Azmi Mohd Rais berkata pihaknya akan meneliti terhadap tuntutan nusyuz yang difailkan Puteri Sarah selaku defendan dan akan menjawab pembelaan dalam masa terdekat.
“Oleh kerana dokumen baharu diperoleh pada hari ini, pihaknya akan memfailkan pembelaan di atas tuntutan nusyuz yang difailkan Puteri Sarah,” katanya.
Susulan itu, Hakim Maizatul Che Din telah menetapkan 14 Jun ini bagi sebutan semula kes berkenaan dengan kedua-dua belah pihak dijangka hadir ke mahkamah.
Pada 21 Mac lalu, Syamsul, 39, memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah, 38, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.
Dia mendakwa Puteri Sarah sering menghubungi bekas kekasih yang berstatus suami orang, sehingga mengganggu rumah tangga lelaki itu.
Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.