Pelakon Puteri Sarah Liyana reda dengan ketentuan takdir apabila perkahwinan yang dibina sejak sembilan tahun lalu akhirnya bakal terlerai pada 18 April ini.
Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Puteri Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, menulis luahan hatinya berhubung perkara tersebut.
Dalam muat naik itu, Puteri Sarah berkata sebagai manusia biasa, tidak semua perkara akan menjadi milik kita hingga ke akhirnya.
“Dalam kehidupan, kita tak boleh memiliki kesemuanya. Sekuat mana kita genggam, sekuat mana kita cuba tahan, bila sampai masanya Allah nak kita lepaskan, kita kena lepaskan.
“Banyak hal yang kita tak boleh nak memiliki dalam masa yang panjang sebab fitrah duniawi memang datang dan pergi,” tulis Sarah.
Ibu kepada dua cahaya mata itu juga berkata segala kemelut yang melanda rumah tangganya telah mengajar dirinya untuk lebih sentiasa bersikap terbuka dan yakin dengan perancangan yang telah diatur Allah SWT.
“Bila kita yakin yang Allah dah aturkan yang terbaik maka kita kena reda dan ikhlaskan. “Meski memakan banyak masa, tak mengapa asalkan kita ajar diri dan didik diri untuk lebih bersikap terbuka.
“Kekecewaan dunia hanyalah sementara sedangkan ada kebahagiaan lain yang Allah cuba simpan untuk kita.
“Jodoh yang lain Allah simpan untuk kita. Apa yang kita perlukan sekarang, hati yang tenang dan bulatkan keyakinan sepenuhnya pada Allah,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Hakim Syarie, Akmaluddin Ilyas telah menetapkan 18 April ini untuk Syamsul melafazkan talak cerai terhadap isteri pertamanya itu.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan kata sepakat telah dicapai oleh Syamsul dan Sarah.
Untuk rekod, Syamsul dan Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.