Di zaman serba canggih kini, tidak dinafikan setiap daripada kita pastinya mempunyai satu akaun media sosial di mana-mana platform seperti Instagram, Facebook atau TikTok.
Golongan selebriti juga antara yang bijak memanfaatkan akaun media sosial masing-masing untuk memasarkan diri mereka dalam bidang yang diceburi.
Selain selebriti, anak-anak mereka juga tidak ketinggalan terkena tempias populariti ibu atau bapa masing-masing.
Sebagai contoh, kedua-dua anak perempuan pelakon Que Haidar antara yang sering menjadi perhatian netizen disebabkan kejelitaan rupa paras mereka yang mewarisi kecantikan isteri aktor tersebut iaitu pakar tarian dan koreografi, Linda Jasmine.
Menerusi temubual yang diadakan program MeleTOP baru-baru ini, Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 43, berkata buat masa ini dia masih belum ‘membenarkan’ kedua-dua anaknya, Tengku Ratu dan Tengku Cleopatra untuk memiliki akaun media sosial sendiri.
Ini kerana menurut pelakon filem Rock Oo! itu, dia lebih mengenali anak-anaknya yang mungkin tidak akan tahan dengan komen-komen negatif yang sering ditinggalkan sebahagian netizen seperti mana yang berlaku terhadap golongan selebriti mahupun anak-anak mereka sebelum ini.
“Sebagai bapa, saya rasa saya lagi kenal anak-anak saya. Mereka (anak-anak), hati mereka lembut.
“Kan kita ada segelintir netizen yang tulis tidak elok. (Saya risau akan) kacau dia orang punya feeling. Saya rasa mereka tak bersedia lagi untuk handle benda-benda macam ini,” katanya.
Sekadar info, Que mendirikan rumah tangga dengan Linda pada 14 Februari 2009 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Tengku Ratu, 13, dan Tengku Cleopatra, 10.
Linda juga mempunyai seorang anak lelaki, Qalif Khan, 22, hasil perkahwinan terdahulu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Que Haidar