Berita

Rabbani, Lah Ahmad, Mawi & Oja Bakal Jayakan ‘Ensany Global Peace & Makan Malam Amal’, Optimis Mahu Kukuhkan Nilai Keamanan, Kasih Sayang & Persaudaraan

Share

Kumpulan Rabbani, Lah Ahmad, Mawi dan Oja menjadi barisan penyanyi yang bakal memeriahkan Program ‘Ensany Global Peace & Makan Malam Amal’ yang bakal berlangsung pada 30 November depan, jam 08.00 malam di IDCC Shah Alam, Selangor.

Azadan Abdul Aziz selaku ketua kumpulan nasyid Rabbani mewakili Rabbani Empire Resources berkata, mereka berbesar hati dapat kerjasama untuk mengadakan acara ini.

“Majlis ini diadakan dengan kerjasama Rabbani Empire Resources sebagai rakan strategik. Kami berbesar hati dapat sama-sama terlibat dalam acara ini. Selain rakan strategik, kami juga bakal melakukan persembahan bersama Lah Ahmad, Mawi dan Oja.

“Insya-Allah, majlis ini juga akan menampilkan Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sheikh Abdul Karim Al Makki yang bakal mengetuai bacaan doa dan alunan ayat suci Al-Quran.

“DJ Pyan dari IKIM FM pula akan bertindak sebagai pengacara program pada malam itu nanti. Semoga majlis ini akan berjalan lancar seperti yang diharap-harapkan,” katanya.

Sebagai sebuah organisasi kemanusiaan, Pertubuhan Kemanusiaan Ensany Malaysia komited dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif dan program.

“Kami telah lama berdedikasi dalam menyediakan bantuan kepada golongan yang memerlukan, menyebarkan mesej kemanusiaan, dan memupuk semangat perpaduan.

“Dengan itu, program ini adalah manifestasi dari usaha kami untuk terus memperkukuh nilai-nilai keamanan, kasih sayang, dan persaudaraan sejagat.

“Ia juga diadakan dengan kerjasama rakan strategik kami Rabbani Empire Resources yang terdiri daripada ahli kumpulan Rabbani sendiri.

“Pemilihan artis terlibat berdasarkan pencapaian dan kredebiliti mereka dalam menyampaikan mesej-mesej kerohanian, kemanusiaan dan nasihat kepada peminat dan umum,” kata wakil Ensany menerusi kenyataan media.

Pakej meja dijual dengan harga RM10,000 (Platinum), RM7,000 (Emas), RM5,000 (Perak) dan RM3,000 (Gangsa) dan setiap meja boleh memuatkan 10 orang.

Program Ensany Global Peace bukan sekadar sebuah acara hiburan, tetapi satu usaha untuk mendekatkan masyarakat dengan nilai-nilai kemanusiaan yang universal.

Bagi yang ingin membuat tempahan meja atau seat program ‘Ensany Global Peace & Makan Malam Amal’ boleh melakukan carian ke akaun EnsanyMalaysia di Facebook atau Instagram.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
MH