Bintang yang sedang meningkat naik, Amir Ahnaf mengakui dia pada awalnya hadir ke sesi uji bakat naskhah Projek: High Council bagi mengisi watak Zahrin.
Bagaimanapun, pengarah terbuka untuk memberikan peranan lebih mencabar menerusi drama bersiri yang mencipta fenomena itu.
Amir atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 23, juga berterima kasih kepada produksi kerana memberi kepercayaan menggalas watak utama buat kali yabg pertama.
“Saya sertai uji bakat tertutup yang diadakan untuk drama ini. Pada awalnya, saya diberikan watak Zahrin yang kini dibawakan oleh Fazziq Muqris.
“Kemudian, saya berjumpa dengan pengarah, Anwari Ashraf. Saya mengagumi karya-karya beliau. Dia nampak bakat saya ini boleh dicungkil untuk bawa watak yang lebih mencabar.
“Saya dipanggil untuk uji bakat kali kedua dan diberikan watak Kahar. Saya memang tak sangka dapat bawa salah satu watak utama kerana sebelum ini dah terbiasa dengan watak-watak sampingan,” katanya.
Bintang kelahiran Terengganu itu berkata demikian menerusi program YouTube, Media Hiburan Next Gen, baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai keputusannya untuk terjun ke bidang seni meski dia memiliki profil akademi yang baik, Amir mendedahkan darah seni itu datang daripada ibunya.
“Ketika bersekolah, saya dan kawan-kawan ada tubuhkan satu band. Pada waktu itu, jiwa seni sangat memberontak.
“Satu lagi rahsia yang tak ramai orang tahu, ibu saya juga merupakan aktivis teater.
“Ibu sangat membantu, menyokong dan menasihati saya ketika belajar jurusan teater di UPSI dahulu,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini